Selasa, 14 Januari 2020 | 6:26pm
Akhyar Rashid. - Foto Azhar Ramli

Akhyar mampu bayar pampasan kepada KFA

KUALA LUMPUR: Pemilik pasukan Johor Darul Ta‘zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebenarnya menuntut sebanyak RM300,000 kepada bekas pemainnya, Akhyar Rashid sebagai pampasan.

Jumlah yang dimahukan KFA itu jelas jauh lagi tinggi apabila nilainya hampir empat kali ganda daripada nilaituntutan pampasan yang ditetapkan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu sebanyak RM75,000.

Jawatankuasa Status FAM sebelum ini menetapkan mana mana pasukan yang mahukan khidmat Akhyar selepas pemain itu menjadi ejen bebas perlu membayar RM75,000 sebagai pampasan latihan kepada KFA.

Bagaimanapun, Tunku Ismail mengakui pemain sayap berusia 20 tahun itu tidak berdepan masalah untuk membayar tuntutan bekas majikannya itu kerana dia sememangnya berkemampuan.

“Akhyar masih pemain JDT. Kes ini Kedah FA ambil tindakan terhadap Akhyar bukan JDT.

“So yang kena bayar adalah Akhyar bukan JDT. Kedah nak Akhyar bayar RM300,000.

“Tetapi Akhyar masih boleh buat rayuan untuk bayar kurang dari 300k..but (tapi) jangan risau.

“Apa apa pun Akhyar akan bayar. Dia kaya. Terima kasih,” kata Tunku Ismail menerusi satu komen di laman Instagramnya, semalam.

Sementara itu, Akhyar yang juga pemain sayap kebangsaan itu tampak tidak mahu menjadikan isu ‘panas’ itu menganggu tumpuannya untuk mengharungi musim hadapan dan membantu skuad Harimau Selatan beraksi dalam saingan Liga Juara Juara Asia (ACL).

Menerusi satu kemaskini di laman rasmi Johor Southern Tigers, Akhyar jelas teruja untuk sekali lagi beraksi pada pertandingan tertinggi di benua Asia sambil menyifatkan ia sebagai peluang terbaik untuk dia terus menimba pengalaman.

“Satu penghormatan yang hebat dapat bermain dengan JDT dalam Liga Juara-Juara AFC apabila dapat bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik di Asia,” katanya.

Berita Harian X