Rabu, 15 Januari 2020 | 8:13am
Pengendali baharu Barcelona, Quique Setien bergambar di Stadium Camp Nou, Barcelona. - Foto AFP
Pengendali baharu Barcelona, Quique Setien bergambar di Stadium Camp Nou, Barcelona. - Foto AFP

Barcelona letak kepercayaan penuh pada Setien

BARCELONA: Quique Setien memulakan sesi pertamanya selaku jurulatih Barcelona awal pagi tadi ketika Ernesto Valverde yang dipecat meninggalkan pusat latihan untuk kali terakhir.

Valverde mengucapkan selamat tinggal kepada semua pemain, mengambil barangan miliknya dan meninggalkan kawasan itu, menutup muka surat selepas beberapa hari yang teruk yang akhirnya menyaksikan dia dipecat pada malam Isnin lalu.

Selepas usaha Barca mendapatkan Xavi Hernandez berakhir dengan kegagalan, mereka menukarnya kepada Setien, pengendali berusia 61 tahun yang melalui karier kejurulatihan yang menarik, bola sepak berasaskan posisi.

Barcelona mengesahkan pelantikan Setien selepas mesyuarat majlis berlanjutan selama lebih empat jam di Camp Nou pada petang Isnin. Kontraknya sehingga 2022 walaupun ada klausa pelepasan pada 2021, yang membenarkan perubahan selepas pemilihan presiden kelab itu.

Barcelona berkedudukan teratas La Liga, sama mata dengan Real Madrid dan akan berdepan Napoli bulan depan dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

“Secara normal anda akan mengambil alih pasukan sedang bermasalah tetapi Valverde meninggalkan kami dengan pasukan di tangga teratas,” kata Setien pada sidang akhbar pertamanya awal pagi tadi. “Tugas dilakukannya adalah sesuatu yang perlu disyukuri.”

Selepas melihat pendekatan Valverde lebih ke arah fungsi, Barca percaya falsafah Setien akan lebih menyerlah seiring dengan DNA mereka.

“Saya adalah seorang individu dengan pandangan yang jelas. Saya ada idea yang jelas,” kata Setien.

“Saya akan mendengar setiap orang tetapi saya orang pertama akan mempertahankan apa yang saya percaya. Jika kami perlu mati dengan idea kami, kami akan mati bersamanya kerana Barca perlu mengikut laluanya.”

Perlawanan pertama akan dilaluinya ialah di laman sendiri berdepan Granada Ahad ini dan enam minggu penuh muslihat termasuk berdepan Valencia, Real Betis dan Real Madrid pada permulaan Mac semuanya di tempat lawan. - AFP

Berita Harian X