Khamis, 16 Januari 2020 | 7:08pm
JURULATIH Pahang FA, Dollah Salleh. NSTP/Farizul Hafiz Awang
JURULATIH Pahang FA, Dollah Salleh. NSTP/Farizul Hafiz Awang

Pahang ambil masa pilih import

KUANTAN: Skuad Pahang tidak mahu terburu-buru dalam menyenaraikan empat pemain import baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengurus Tok Gajah Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, langkah itu bagi mengelak import yang tidak mencapai prestasi terbaik mereka hingga terpaksa ditamatkan kontrak lebih awal pada pertengahan musim.

"Kita tidak mahu pemain import yang ditandatangani kontrak gagal memberi impak kepada pasukan dan akhirnya terpaksa mendapatkan pemain import baru,” kata Suffian.

"Kali ini kita mahu membuat pemilihan dengan lebih teliti kerana tarikh tutup pendaftaran pemain import berakhir pada pertengahan Mac depan.

"Setakat ini, barisan kejurulatihan yang diketuai ketua jurulatih (Dollah Salleh) masih menilai beberapa pemain untuk memperkuatkan jentera pasukan musim ini."

Musim lalu, Pahang memutuskan menamatkan kontrak penyerang Brazil, Jose Eduardo atau Ze Love pada pertengahan musim selepas pemain itu gagal memperkasakan jentera serangan skuad itu.

Berikutan itu, skuad Tok Gajah terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada pemain berumur 33 tahun itu selepas menamatkan kontrak lebih awal.

Dalam perkembangan terbaru, difahamkan skuad Pahang kini masih menilai dan menguji beberapa pemain import sebagai persiapan menghadapi saingan liga nanti.

Setakat ini, skuad Tok Gajah mengesahkan pemain pertahanan import dari Perancis, Herold Goulon musim lalu dikekalkan.

Empat pemain import musim lalu – Dickson Nwakaeme (Nigeria), Lazarus Kaimbi (Namibia), Safuwan Baharudin (Singapura) dan Saddil Ramdani (Indonesia) tidak lagi bersama Pahang musim ini.

Namun difahamkan Nwakaeme dikatakan masih berminat untuk bersama skuad Tok Gajah musim ini tetapi tiada sebarang kata putus setakat ini.

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X