Ahad, 19 Januari 2020 | 9:24pm
Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Saddam Yusoff
Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Saddam Yusoff

Liga M3 dirombak, 20 pasukan bertanding

KUALA LUMPUR: Standard saingan Liga M3 akan distrukturkan semula musim ini sebagai langkah persediaan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) menyiapkan peralihan pasukan amatur kepada semipro menjelang musim 2021.

Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, sebagai langkah pertama, saingan Liga M3 musim 2020 akan dibuka kepada 20 pasukan yang diasingkan kepada dua kumpulan sekali gus menyaksikan penambahan enam pasukan berbanding hanya 14 pada musim lepas.

Menurutnya hanya 12 pasukan terbaik yang memiliki rekod kewangan baik akan dibenarkan terus beraksi dalam saingan Liga M3 pada musim 2021 sementara lapan pasukan tersingkir akan berentap bersama empat pasukan terbaik Liga M4 musim 2020 dalam saingan liga itu musim depan.

Sementara untuk liga-liga dianjurkan persatuan bola sepak negeri atau liga swasta yang diiktiraf AFL pula akan diselaraskan menjadi M5 bermula 2021.

"Kita perlu memperbaiki struktur Liga M3 kerana AFL mahu memastikan standard liga ini tidak begitu jauh dengan Liga Perdana jika mereka dapat dinaikkan pada masa akan datang. Kita mahu pasukan-pasukan lebih bersedia untuk dinaikkan ke Liga Perdana nanti.

"Jadi jangkaan kami pada tahun 2021, status Liga M3 bakal menjadi semipro manakala kelompok pasukan amatur akan bersaing dalam M4," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

AFL turut mencadangkan sebanyak dua hingga empat slot pasukan bertanding dalam Piala Cabaran dibuka kepada pasukan Liga M3, namun Mohd Yusoff berkata ia tertakluk kepada keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas cadangan itu memerlukan penyelarasan jadual liga.

Pada masa sama, program naturalisasi akan mula diperkenalkan AFL dengan tambahan dua lagi kuota pemain asing berumur antara 18 hingga 20 tahun bagi musim 2020 dan bermula tahun 2021 setiap pasukan amatur diwajibkan mendapat pengiktirafan atau bernaung di bawah persatuan daerah atau negeri.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff memberikan peringatan kepada kelab Liga M3 untuk tidak menukar atau menjual slot pasukan mereka kepada mana-mana pihak.

"Saya berharap budaya tidak sihat ini dapat dihentikan kerana mana-mana pasukan tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan slot mereka kepada pasukan lain. Keputusan terakhir berada di tangan AFL untuk menilai, pertimbang sebelum meluluskan slot pasukan Liga M3 kepada pihak yang lain," katanya. - BERNAMA

 

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X