Ahad, 19 Januari 2020 | 10:37pm
- Foto ihsan Facebook SelangorFA

Selangor kalah penalti

SHAH ALAM: Hajat Selangor untuk menjuarai Piala Cabaran Asia (ACC) 2020 tidak kesampaian selepas tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada kelab Thailand, True Bangkok United FC di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Kelmarin, Selangor membuka tirai kejohanan yang disertai empat pasukan dari rantau Asia Tenggara itu dengan langkah kanan apabila menewaskan Persib Bandung 3-0.

Pada sebentar tadi, Selangor mendapat peluang terbaik seawal minit kelima perlawanan menerusi Ifedayo Olusegun yang terlepas dari kawalan pertahanan lawan, namun percubaannya tidak menepati sasaran.

Permukaan padang yang kurang baik akibat hujan sebelum perlawanan jelas mengganggu persembahan kedua-dua pasukan apabila tidak banyak gerakan berbahaya dapat dilakukan.

Pemain Selangor Ifedayo Olusegun Amosuti (kanan) diasak pemain True Bangkok United Wanchai Jarunongkran (dua, kanan) dalam perlawanan Selangor Asia Challenge 2020 di Stadium Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

Malah, perlawanan turut dicemari dengan beberapa bantahan pemain dan pegawai pasukan True Bangkok United selepas dilihat kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali.

Percubaan terbaik Selangor di babak kedua hadir pada minit ke-76  selepas rembatan pemain gantian Azrin Afiq Rusmini menggegar palang gol.

True Bangkok United juga berjaya mencipta beberapa peluang, namun gagal memecahkan kebuntuan jaringan yang menyaksikan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Namun, kegagalan Zahril Azri Zabri dan Halim Saari menyudahkan sepakan penalti ketiga dan keempat Selangor membolehkan True Bangkok United muncul juara.

Berita Harian X