Isnin, 20 Januari 2020 | 11:04am
PENGENDALI Barcelona, Quique Setien. - Foto Reuters
PENGENDALI Barcelona, Quique Setien. - Foto Reuters

Setien mula langkah kanan di Barca

MADRID: Quique Setien boleh menarik nafas lega selepas Lionel Messi meledak gol tunggal permainan untuk kemenangan pertama pengendali baharu Barcelona itu ketika menentang Granada.

Jaringan minit ke-76 Messi di Camp Nou melonjak Barca kembali ke puncak La Liga menerusi perbezaan jaringan, selepas Real Madrid merampas seketika kedudukan itu berikutan kemenangan ke atas Sevilla pada Sabtu.

Minggu lalu Setien berkata dia ingin melihat Barcelona kembali bermain bola sepak yang berkualiti ketika di bawah bimbingannya dan walaupun tidak banyak perbezaan selepas Ernesto Valverde dipecat, ada petanda positif yang dapat dilihat.

PEMAIN Barcelona, Lionel Messi (kanan) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Granada pada aksi La Liga di Camp Nou. - Foto AFP
PEMAIN Barcelona, Lionel Messi (kanan) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Granada pada aksi La Liga di Camp Nou. - Foto AFP

“Messi melakukan apa yang biasa dilakukan sepanjang hidupnya,” kata Setien berkenaan penjaring gol terbanyak Barca itu.

“Dia sudah melakukannya banyak kali dalam perlawanan seperti ini, perlawanan yang anda menemui jalan buntu, tidak menyebelahi anda dan tidak cukup inspirasi, tetapi dia sering tampil dengan sesuatu yang istimewa.

“Kami melakukan beberapa gerakan seperti ini di babak pertama tetapi ia tidak menjadi, namun apabila bola sampai kepada Messi anda tahu peluang untuk berakhir dengan jaringan amat besar.” – AFP

 

 

Berita Harian X