Khamis, 23 Januari 2020 | 6:43pm
PEMAIN Pahang, Mohd Faisal Rosli (tengah). NSTP/Zulkepli Osman

Tocang mahu tebus kegagalan musim lalu

 

KUANTAN: Pemain pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli atau Tocang mengharapkan tuah buat skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.  

Katanya, kegagalan meraih sebarang gelaran musim lalu diharap dapat ditebus musim ini selepas kali terakhir bergelar juara pada 2018 selepas memenangi Piala FA.  

"Sudah pasti kami mahu melakar kejayaan manis musim ini dan kini mempertingkatkan persediaan dalam usaha membentuk pasukan lebih padu musim ini.  

"Kegagalan mengucup piala musim lalu memerlukan kami bekerja keras dan tampil bersemangat," kata pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu.  

Ditanya mengenai Herold Goulon yang kekal dalam skuad Tok Gajah musim ini, Mohd Faisal gembira kerana pengalaman dimiliki pemain pertahanan import dari Perancis itu mampu mengukuhkan kubu pasukan.  

Katanya, gandingan pemain di bahagian pertahanan diharap lebih mantap untuk memastikan Pahang lebih kebal dalam menyekat lawan membolosi gawang.  

"Sudah tentu saya gembira kerana sepanjang musim lalu, Goulon bermain dengan cemerlang dan dia juga mampu menjaringkan gol buat pasukan.  "Saya percaya gandingan kami di bahagian pertahanan diharap lebih menjadi dan mampu melakar kejayaan bermakna musim ini," kata pemain berumur 29 tahun itu.  

Musim lalu, selain Mohd Faisal dan Goulon, dua lagi pemain yang mengawal benteng adalah kapten pasukan, Mathew Davies dan Muslim Ahmad.  

Pahang menamatkan saingan Liga Super musim 2019 selaku naib juara dan berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

Berita Harian X