Jumaat, 24 Januari 2020 | 12:19pm
Quique Setien.
Quique Setien.

Setien berdepan ujian sebenar bertemu Valencia

MADRID: Era baharu Barcelona bermula dengan positif apabila melakar dua kemenangan berturut-turut tetapi kunjungan ke Valencia dalam aksi saingan Liga Sepanyol, malam esok bakal menjadi ujian sebenar buat Quique Setien membuktikan kredibilitinya sebagai jurulatih.

Selepas menewaskan Granada 1-0 dan mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Ibiza, prestasi Barcelona dilihat masih belum meyakinan di bawah bimbingan Setien.

Ia terbukti khususnya ketika bertemu Granada yang menyaksikan The Catalan mendominasi hampir keseluruhan perlawanan tetapi hanya berjaya menjaringkan satu gol.

Gol kemenangan Barcelona hanya hadir pada minit ke-76 menerusi jaringan penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi.

“Saya lihat banyak perkara yang saya suka hari ini,” kata Setien.

Ketika mula dilantik membimbing Barcelona minggu lalu, Setien mengakui dia agak janggal untuk melatih kelab menghuni tangga teratas liga itu apatah lagi untuk melakukan perubahan mengikut percaturannya.

Bagaimanapun, pemain dilihat positif dalam menerima perubahan yang cuba dibawa jurulatih berkenaan.

“Saya agak terkejut melihat kesanggupan mereka untuk bekerja dan menerima perubahan yang dibawa. Mereka perlu faham dengan apa yang kamu katakan,” katanya. - AFP

Berita Harian X