Selasa, 28 Januari 2020 | 6:50pm
Aksi Gabriel Martinelli (dua dari kiri) ketika menentang Bournemouth pada saingan Piala FA, semalam. - Foto Reuters
Aksi Gabriel Martinelli (dua dari kiri) ketika menentang Bournemouth pada saingan Piala FA, semalam. - Foto Reuters

Martinelli mampu ikut jejak Ronaldo

LONDON: Ronaldinho mendakwa Gabriel Martinelli mampu mengikut jejak legenda Brazil, Ronaldo selepas mencuri perhatian dengan penampilan sensasinya di Arsenal.

Martinelli menjadi tumpuan walaupun Arsenal mengharungi musim sukar –  menjaringkan 10 gol dalam 21 perlawanan, termasuk jaringan hasil gerakan solo sejauh 65 meter menentang seteru London, Chelsea.

Martinelli langsung tidak menunjukkan tanda-tanda dia takut, sekali gus membuatkan Ronaldinho membandingkannya dengan rakan sepasukan juara Piala Dunia 2002, Ronaldo.

“Kami sebagai rakyat Brazil sangat teruja dengan Martinelli dan masa depannya. Mempunyai bakat satu perkara – tetapi pada usia 18 tahun dengan keyakinan sebegitu sesuatu yang lain,” kata Ronaldinho.

“Dia mengingatkan saya kepada kepada Ronaldo pada musim pertamanya di Eropah, dia menjaringkan 30 gol dan orang berkata: “siapa budak 18 tahun Brazil ini?”

“Dia mahukan bola, berlari ke arah pemain, tidak ada rasa gentar kepada pemain atau pasukan mana yang dihadapinya – dan saya lihat perkara sama di dalam Martinelli.

“Dia cuma mahu mendapatkan bola dan menjaringkan gol. Ronaldo kemudian menjadi pemain terbaik dunia – dan itu juga mampu menjadi sasaran Martinelli.” – AGENSI

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X