Sabtu, 1 Februari 2020 | 2:34pm
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta. - Foto Reuters
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta. - Foto Reuters

Arteta persiap Arsenal ala ragbi

LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berkata Burnley kendalian Sean Dyche adalah pakar dalam membuli pasukan lawan, dan bagi menghadapi lawannya itu di Turf Moor esok pemain-pemainnya menjalani persiapan fizikal lebih keras.

Antara latihan dijalankan Arteta ialah menolak beg bebanan seperti yang biasa dilakukan pemain-pemain ragbi.

Arsenal, yang menandatangani bek kanan Southampton Cedric Soares secara pinjaman sehingga akhir musim ini, hanya menang sekali dalam lapan perlawanan Liga Perdana terakhir mereka.

Mereka sudah jauh ketinggalan dalam persaingan kelompok empat teratas dan pertemuan dengan Burnley esok juga dijangka halangan besar buat Arsenal.

“Apa yang mereka lakukan, mereka lakukannya dengan begitu baik sekali dan mereka adalah pakar dalam hal itu. Corak permainan mereka menjadikannya sukar untuk pihak lawan,” kata Arteta.

“Jadi kami perlu bersedia untuk berjuang, jadi bijak dan kuasai perlawanan dengan cara yang kita mahukan.”

Corak latihan fizikal Arteta bukan perkara baru, malah ia pernah dilakukan sebaik dia mengambil alih pasukan pada Disember tahun lalu.

“Kebanyakan pasukan, mereka dibuli walaupun mereka percaya ia tidak mampu dilakukan. Ini menunjukkan betapa bagusnya mereka (Burnley) dan kekuatan mereka. Jadi kami perlu memastikan ia tidak akan terjadi,” katanya. – AGENSI

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X