Isnin, 3 Februari 2020 | 3:22pm
LIRIDON menunjukan kad pengenalan miliknya selepas mendapat kerakyatan Malaysia. - Foto FAM
LIRIDON menunjukan kad pengenalan miliknya selepas mendapat kerakyatan Malaysia. - Foto FAM

Liridon sah rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Liridon Krasniqi sudah mendapat kerakyatan Malaysia.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan pemain kelahiran Kosovo itu memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya, hari ini.

Justeru, beliau berkata pemain berusia 28 tahun itu hanya selangkah lagi untuk layak menyarung jersi Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

"Kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya nanti diharap memperkasakan lagi pasukan," kata Stuart dalam kenyataan, hari ini.

"FAM juga ingin berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang banyak membantu sepanjang proses untuk Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian ini."

Inisiatif dan idea ke arah pengambilan pemain naturalisasi dicetuskan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sejak hari pertama beliau memegang jawatan itu pada 14 Julai 2018.

Ia seterusnya mula digerakkan menerusi pembentukan Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Program itu disusuli mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi menerusi tiga peringkat - jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang yang diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 pada 30 Mac lalu.

Berita Harian X