Jumaat, 7 Februari 2020 | 7:09am
Raheem Sterling mengalami kecederaan hamstring. - Foto Reuters
Raheem Sterling mengalami kecederaan hamstring. - Foto Reuters

City terpaksa lupakan Sterling

LONDON: Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling terlepas aksi menentang West Ham United dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini selepas mengalami kecederaan hamstring.

Situasi itu turut menyaksikan dia kesuntukan masa untuk kembali pulih menjelang pertembungan dengan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara, hujung bulan ini.

Sterling mengalami kecederaan ketika City tewas kepada Tottenham Hotspur dan kelab itu mengesahkan pemain antarabangsa England berkenaan terpaksa diketepikan daripada perlawanan hujung minggu ini.

“Sterling akan terlepas perlawanan kami menentang West Ham hujung minggu ini selepas ujian imbasan mendapati dia mengalami kecederaan hamstring. 

“Semua orang di City mengharapkan @sterling7 kembali pulih sepenuhnya secepat mungkin,” kata City menerusi laman Twitter mereka.

Pengurus City, Pep Guardiola berharap ketiadaan Sterling tidak lama ketika pasukannya itu bakal menempuh jadual perlawanan yang padat selepas aksi bertemu West Ham.

Mereka akan berkunjung ke Stadium King Power untuk aksi bertemu Leicester City pada 22 Februari dan mereka akan berlepas ke Sepanyol bagi menentang Real dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara empat hari kemudian.

City turut mengharapkan sentuhan Sterling bagi membantu pasukan mengharungi aksi final Piala Liga menentang Aston Villa pada 1 Mac depan.

Pemain berusia 25 tahun itu yang dibawa keluar pada minit ke-85 ketika menentang Spurs adalah salah seorang penjaring terbanyak City musim ini dengan dia merekodkan 20 gol dalam semua kejohanan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X