Jumaat, 7 Februari 2020 | 11:39am
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba.
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba.

Pogba dapat 'lampu hijau' tinggalkan Old Trafford

LONDON: Paul Pogba mendapat ‘lampu hijau’ untuk meninggalkan Manchester United pada musim panas ini.

Pihak pengurusan tertinggi United dilapor sedia melepaskan pemain tengah Perancis itu dengan harga 150 juta pound (RM803 juta).

Skuad The Reds sememangnya mahu melepaskan pemain berkenaan pada musim panas lalu tetapi tanda harga yang terlalu tinggi bernilai 180 juta pound (RM963.4 juta) membuatkan Real Madrid dan Juventus terpaksa melupakan seketika hasrat bagi mendapatkan Pogba.

Kini, Pogba, 26, dan ejennya, Mino Raiola sudah dimaklumkan yang pemain itu boleh meninggalkan Old Trafford pada hujung saingan musim ini sekiranya harga yang ditetapkan dipersetujui.

Pengurus The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer dan ahli lembaga pengarah kelab percaya ia adalah jalan terbaik.

Pogba sebelum ini dilaporkan tidak percaya dia mampu merangkul gelaran liga dan juara Liga Juara-Juara bersama United biarpun berada di kemuncak prestasi dalam kerjayanya.

United kini menerima dengan hati terbuka keinginan pemain itu untuk meninggalkan kelab berkenaan bagi membolehkan Solskjaer melakukan perancangan pada masa depan terutama bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda.

Pogba hanya membuat lapan penampilan bersama United musim ini selepas dia dihantui masalah kecederaan buku lali.

Ketika dia menyertai The Red Devils daripada Juventus pada Ogos 2016, dia menjadi pemain termahal dunia dengan nilai perpindahan berjumlah 89 juta pound (RM476.4 juta).

Dia memulakan kerjaya bersama United sebelum Alex Ferguson melepaskannya disebabkan gagal mencapai kata sepakat berhubung kontraknya.

Namun, United kembali mendapatkan khidmatnya selepas pemain itu membantu Juventus merangkul gelaran Serie A sebanyak empat kali berturut-turut. – Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X