Ahad, 9 Februari 2020 | 9:04pm
KEADAAN Stadium Bramall Lane ketika dilanda Ribut Ciara. - Foto AFP
KEADAAN Stadium Bramall Lane ketika dilanda Ribut Ciara. - Foto AFP

Ciara buat aksi City, West Ham ditangguh

LONDON: Aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan Manchester City dan West Ham, tengah malam ini terpaksa ditangguhkan susulan ‘Ribut Ciara’.

Pertandingan bola sepak, ragbi dan lumba kuda berdepan penangguhan selepas ribut dengan kelajuan 90 batu sejam (144 kilometer sejam) memaksa Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran Amber.

Situasi semasa menyebabkan Manchester City mengambil pendekatan untuk tidak meneruskan perlawanan berprofil tinggi untuk minggu ini.

Menerusi Twitternya, Manchester City mengumumkan ‘susulan cuaca yang ekstrem dan tidak mengizinkan selain keselamatan penyokong dan petugas, aksi EPL menentang West Ham ditangguhkan.’

KEADAAN Stadium Etihad selepas dilanda Ribut Ciara. - Foto Reuters
KEADAAN Stadium Etihad selepas dilanda Ribut Ciara. - Foto Reuters

Selain itu, aksi tetangga membabitkan Arsenal dan Tottenham bagi saingan Liga Super Wanita (WSL) turut berdepan situasi sama dan beberapa aksi WSL yang lain seperti Birmingham menentang Brighton, Manchester City bertemu West Ham serta Bristol City dan Reading juga ditangguhkan.

Aksi Six Nations Wanita antara Scotland dan England juga ditangguhkan dengan Ragbi Scotland mengesahkan tarikh baharu akan dimaklumkan nanti.

“Keselamatan penyokong, pemain dan petugas sentiasa menjadi keutamaan. Perbincangan sedang dilakukan untuk jadual semula perlawanan.”- Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X