Selasa, 11 Februari 2020 | 6:44am
Emery berkata dia tidak diberikan masa yang cukup untuk melakukan tranformasi buat Arsenal. - Foto Reuters
Emery berkata dia tidak diberikan masa yang cukup untuk melakukan tranformasi buat Arsenal. - Foto Reuters

Saya patut diberi masa - Emery

PARIS: Bekas pengurus Arsenal, Unai Emery berkata dia tidak diberikan masa yang cukup untuk melakukan tranformasi buat kelab gergasi London itu yang mengalami kemerosotan prestasi ketika dia mula dilantik.

Emery hanya bertahan selama 18 bulan di Stadium Emirates selepas dua tahun bersama Paris Saint Germain (PSG) selain berjaya membawa Sevilla memenangi gelaran Liga Europa sebanyak tiga kali berturut-turut.

“Arsenal mengalami kemerosotan prestasi selama dua tahun ketika saya mula menyertai kelab itu,” kata Emery yang menyaksikan kerjayanya bersama The Gunners berakhir pada November 2019 selepas tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan.

“Namun, saya berjaya meningkatkan semula prestasi pasukan apabila kelab berjaya mara ke final Liga Europa (tewas 1-4 di tangan Chelsea) dan menamatkan saingan di tempat kelima dalam Liga Perdana Inggeris.

“Pada musim itu, sepatutnya kami sendiri menentukan nasib kami untuk layak ke Liga Juara-Juara tetapi semuanya tidak menjadi.

“Kami kehilangan empat kapten (Laurent) Koscielny, (Petr) Cech, (Aaron) Ramsey dan (Nacho) Monreal dan kami benar-benar merasai ketiadaan mereka.

“Ada beberapa pemain utama kami tidak menunjukkan sikap yang baik.

“Saya memerlukan masa untuk melakukan tranformasi kepada kelab ini dan membentuk Arsenal yang baharu.” - AFP

Berita Harian X