Selasa, 11 Februari 2020 | 7:47am
Woodward (kiri) dan Solskjaer menjadi bahan kecaman peminat setia Manchester United yang kecewa dengan prestasi pasukan ketika ini.
Woodward (kiri) dan Solskjaer menjadi bahan kecaman peminat setia Manchester United yang kecewa dengan prestasi pasukan ketika ini.

United sedia berbelanja

LONDON: Ed Woodward mengakui pintu perpindahan pemain pada musim panas ini akan menjadi peluang penting buat Manchester United untuk mengukuhkan pasukan dengan melakukan pelaburan bagi membawa masuk beberapa pemain baharu ke Old Trafford.

United ketika ini berada di kedudukan kelapan Liga Perdana Inggeris dan peluang untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas tampak sukar buat The Red Devils.

Woodward yang juga Naib Pengerusi Eksekutif United dan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer menjadi bahan kecaman peminat setia kelab itu yang kecewa dengan prestasi pasukan ketika ini.

Malah, kediaman rasmi Woodward turut diserang dengan suar dan diconteng daripada penyokong yang tidak berpuas hati.

Bagaimanapun, Woodward menegaskan kemasukan bintang Portugal, Bruno Fernandes daripada Sporting Lisbon, bulan lalu membuktikan United masih mampu menarik minat pemain berkualiti biarpun gagal menjuarai Liga Perdana Inggeris sejak 2013.

“Kemasukan Bruno Fernandes dan kembalinya beberapa pemain utama selepas pulib daripada kecederaan pastinya akan memberi kekuatan tambahan kepada Ole dan pasukan memasuki separuh masa kedua saingan musim ini.

“Kami masih bersaing dalam Liga Europa dan Piala FA. Malah, kami masih berpeluang untuk layak ke Liga Juara-Juara, jadi masih banyak perlawanan yang perlu diharungi.

“Bagaimanapun, sebagai kelab dan lembaga pengarah, kami dapati kami tidak berada pada kedudukan yang kami mahukan.

“Keutamaan kami ketika ini adalah mengembalikan kelab sebagai pencabar utama gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara,” kata Woodward. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X