Rabu, 12 Februari 2020 | 9:11am
Penyerang Rennes, Adrien Hunou (kanan) gagal dihalang pertahanan Belford, Yannick Konki, merembat lalu membolosi gawang Belford, awal pagi tadi. - Foto AFP

Kisah dongeng Belfort berakhir

MONTBELIARD, Perancis: Kisah dongeng kelab divisyen empat, Belfort dalam saingan Piala Perancis berakhir selepas tewas 0-3 di tangan Rennes pada aksi suku akhir yang berlangsung, awal pagi tadi.

Walaupun tewas namun Belfort menerima tepukan gemuruh daripada penonton di Stade Aguste Bonal sejurus wisel penamat dibunyikan berikutan prestasi cemerlang pasukan itu dalam saingan kali ini termasuk ketika menyingkirkan Montpeliier pada pusingan awal.

Rennes ketika ini menghuni tangga ketiga Ligue 1 dan masih bersaing bagi memburu slot ke saingan Eropah musim depan namun status itu tidak mematahkan semangat juang Belfort yang memberi tentangan sepanjang perlawanan sehingga menyaksikan barisan pemain Rennes memberikan ‘guard of honour’ selepas tamat aksi.

“Tiada apa yang kami perlu kecewakan, “ kata jurulatih Belfort, Anthony Hacquard.

“Kami adalah pasukan amatur dan kami bangga dengan pencapaian kami. Kami berasa bangga dapat melihat ramai penyokong hadir ke stadium bagi memberi sokongan.”

Tiga gol Rennes hadir menerusi jaringan Raphina pada minit ke-24 diikuti M'Baye Niang yang menyempurnakan sepakan penalti minit ke-74 sebelum Jordan Siebatcheu melengkapkan kemenangan pasukan itu dengan gol  ketiga pada masa kecederaan.

Rennes mempunyai beberapa peluang terhidang bagi menambah gol pada babak kedua perlawanan tetapi dinafikan menerusi ketangkasan penjaga gol Belfort, Eddy Ehlinger.-

Berita Harian X