Jumaat, 14 Februari 2020 | 12:08pm
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.

Peluang Liverpool lebar jurang

LONDON: Liverpool dijangka mengorak langkah semakin hampir dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila bertandang ke laman kelab tercorot Norwich esok.

Juara Eropah itu berpeluang melebarkan jurang 22 mata ke atas pesaing terdekat Manchester City di Carrow Road esok bagi memastikan impian menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun mampu menjadi kenyataan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp hanya tercicir dua mata musim ini dan menang 16 perlawanan terakhir liga sebelum ini.

Perjalanan untuk kejuaraan musim ini bermula dengan malam pembukaan ketika Norwich bertandang ke Anfield dan ketinggalan 4-0 dalam tempoh 42 minit pertama.

Kecederaan Alisson Becker ketika itu menimbulkan kerisauan Klopp apabila penjaga gol Brazil itu terpaksa berehat dua bulan.

Selepas mengambil masa untuk kembali mencapai prestasi terbaiknya, Alisson menyelamatkan 26 daripada 27 percubaan, dengan Liverpool mencatat agregat jaringan 23-1 sepanjang tempoh itu.

Penjaga gol utama, Alisson Becker.

“Kami mahu memenangi gelaran dan untuk memenangi gelaran, anda perlu menang semuanya,” kata Alisson.

“Cara kami bermain, anda perlu menikmatinya kerana jika tidak anda tidak akan dapat mengikut rentak kami.”

Jurang 55 mata membezakan Liverpool dan Norwich dengan pasukan tercorot itu berada tujuh mata di bawah garis penyingkiran. – AFP

Berita Harian X