Jumaat, 14 Februari 2020 | 12:22pm
Kerwin Lim (dua dari kiri) bersama Nik Radzi (dua dari kanan) peraga trofi kejohanan di pejabat Nestle, Wisma Surian.

Hidup Bola Milo cari pemain ke Barcelona

KUALA LUMPUR: Lapan pemain termasuk dua pemain perempuan bawah 12 tahun akan dipilih untuk mewakili Milo Malaysia bertanding pada saingan Milo Cup di Barcelona pada Oktober depan.

Pemain-pemain terpilih turut berpeluang mendapat  tunjuk ajar barisan kejurulatihan skuad gergasi Sepanyol, Barcelona.

Pemilihan akan diadakan menerusi Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2020 (KFMHB) yang akan menjelajah ke 14 buah negeri bagi mencari dan membawa pasukan terbaik bersaing ke peringkat Grand Final.

KFMHB peringkat negeri akan bermula Sabtu ini di Ampang Sport Planet dan akan berakhir pada 25 Julai di Sport Planet Subang. 

Menurut Pengurus Pemasaran Sukan Milo, Kerwin Lim; "Kali ini program bertemakan 'Milo Aktif Negaraku' meneruskan komitmen dalam usaha memperkasa sukan ini di peringkat akar umbi. 

"Hidup Bola Milo edisi terbaru lebih menarik di mana pemain terbaik bawah 12 tahun bersaing di Barcelona.”

Pasukan yang ingin menyertai saingan KFMHB boleh melayari laman sesawang www.milo.com.my.

KFMHB anjuran Nestle Product Sdn Bhd turut mendapat kerjasama Figos, NR Sport Event.

Ampang Sport Planet menjadi venue pertama membuka tirai kejohanan pada 22 Februari ini diikuti Kelantan pada 29 Februari, Sarawak (14 Mac), Sabah (28 Mac), Terengganu (4 April), Perak (11 April), Melaka (18 April), Perlis (6 Jun), Pahang (13 Jun), Kedah (20 Jun), Pulau Pinang (27 Jun), Negeri Sembilan (4 Julai), Johor (11 Julai) dan Selangor (18 Julai).

Peringkat Grand Final dijadual berlangsung pada 25 Julai di Sport Planet Subang manakala saingan Milo Champions Trophy 2020 pada 29 hiingga 31 Ogos di Space Rubix Arena, Puchong.

Meraikan sambutan KFMHB kali ke-15 Nestle memperkenalkan satu lagi saingan – Milo Champions Trophy 2020 bagi kategori bawah 16 tahun. Empat pasukan dari rantau Asia akan dijemput menyertai menyertai kejohanan ini dan akan bersaing dengan empat pasukan terbaik Grand Final KFMHB mewakili pasukan tempatan.

Juara akan menerima RM16,000, pingat dan trofi manakala naib juara menerima RM8,000. Bagi kedudukan ketiga bersama masing-masing akan menerima RM4,000.

Berita Harian X