Sabtu, 15 Februari 2020 | 7:58am
PEMAIN Wolves, Willy Boly menanduk masuk bola dalam perlawanan menentang Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Molineux. - Foto Reuters

VAR ragut kemenangan Wolves

WOLVERHAMPTON, United Kingdom: Nuno Espirito Santo mendakwa bola sepak akan menjadi seperti robot selepas Wolves kendaliannya dinafikan secara kontroversi oleh VAR dan pemain Leicester Hamza Choudhury dibuang padang dalam keputusan 0-0 di Molineux.

Wolves menyangka mereka sudah mendahului permainan apabila Willy Boly menanduk masuk bola di babak pertama, tetapi VAR membatalkan gol berkenaan kerana Diogo Jota didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

Wolves berang, tetapi kemudian keputusan berpihak kepada mereka di babak kedua apabila penalti Leicester tidak dilayan sebelum Choudhury dibuang padang susulan kad kuning kedua.

“Ia realiti sekarang tetapi setiap kali ia berlaku, anda akan kecewa. Apabila anda melihat imejnya, tidak nampak kelebihan langsung, tetapi peraturan tetap peraturan,” kata Santo.

“Pengadil berkata ia ofsaid. Kita perlu menerimanya dan berharap ia akan bertambah baik. Mereka perlu menambah baik (VAR), ia amat jelas.

“Sesuatu perlu dilakukan. Kita di ambang menjadi seperti robot.”

 

Leicester kekal di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, satu mata di belakang Manchester City yang menghuni tangga kedua.

Pengendali Leicester Brendan Rodgers gembira gawangnya tidak dibolosi buat kali kedua dalam 11 perlawanan terakhir liga.

“Tidak dibolosi cukup melegakan. Saya tidak rasa kali pertama adalah kad kuning. Saya rasa Hamza tidak bernasib baik,” kata Rodgers.

“Permainan seperti ini sekarang, ibu jari kakinya dalam kedudukan ofsaid. Mereka (Wolves) akan mendapatinya terlalu keras.” – AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X