Sabtu, 15 Februari 2020 | 2:51pm
Jurgen Klopp (kiri) memerlukan lebih maklumat daripada Mohamed Salah dan Mesir.

FIFA sahkan kuasa di tangan Liverpool

LONDON: Pengendali bawah 23 tahun Mesir Shawky Gharib bercadang menyenaraikan bintang Liverpool Mohamed Salah sebagai salah seorang daripada tiga pemain senior yang akan memperkuatkan skuadnya di Olimpik Tokyo tahun ini.

Tetapi pengendali Liverpool Jurgen Klopp dimaklumkan oleh FIFA yang dia boleh menyekat Salah daripada menyertai temasya berkenaan.

Liverpool perlu melepaskan Salah, Sadio Mane dan Naby Keita untuk beraksi di Piala Negara-Negara Afrika pada Januari sekiranya mereka terpilih, bermakna kelab itu akan kehilangan bintang mereka selama enam minggu.

Sekiranya Liverpool menghalang mereka untuk kejohanan skuad senior kebangsaan itu, mereka tidak akan dibenarkan beraksi untuk kelab dari permulaan kem persiapan sehingga tamat cabaran negara masing-masing di kejohanan itu.

Peraturan itu bagaimanapun tidak diguna pakai untuk Olimpik kerana ia bukan sebahagian daripada kalendar kejohanan badan induk bola sepak dunia itu.

Gharib menyenaraikan Salah dalam skuad awal 50 pemain dan menegaskan dia mahu pemain itu membantu skuadnya kerana dia adalah salah seorang daripada tiga pemain terbaik dunia.

Klopp pula mengakui yang dia memerlukan lebih maklumat daripada Salah dan Mesir, namun pada masa sama menegaskan dia tidak rela kehilangan pemain tonggaknya itu dalam persiapan pra-musim.

“Adakah saya mahu kehilangan pemain pada pra-musim? Sudah tentu tidak. Itu amat jelas,” kata Klopp.

“Tetapi kami perlu mengambil kira beberapa perkara. Saya akan bercakap dengan Mo berkenaan perkara itu.” – AGENSI

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X