Sabtu, 15 Februari 2020 | 7:33pm
LEGENDA Liverpool, John Barnes.
LEGENDA Liverpool, John Barnes.

'Liverpool akan tumbang'

LONDON: Legenda Liverpool, John Barnes percaya The Reds tidak mampu menyamai pencapaian tanpa tewas skuad 'invincible' Arsenal dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini.

Sudah beraksi dalam 25 perlawanan liga setakat ini, Liverpool belum lagi tewas dan berada dalam landasan yang betul menyamai rekod Arsenal pada 2003-04.

Bagaimanapun, Barnes percaya bahawa skuad kendalian Jurgen Klopp mungkin tumbang jua tatkala liga masih berbaki 13 perlawanan.

Barnes, yang beraksi untuk Liverpool antara 1987 hingga 1997 berkata: "Saya berfikiran mereka boleh mengelak kekalahan sepanjang musim, tetapi sebenarnya tidak.

"Rasanya mereka akan tewas jua tetapi apa yang pasti mereka akan menjuarai liga dengan selesa.

"Pada akhirnya ia tidak penting untuk Liverpool tewas, apa yang penting memenangi liga. Saya rasa mereka tidak berdepan masalah dengan Norwich minggu ini, tetapi mereka akan ditewaskan sebelum berakhir musim ini.

"Ia tidak penting sehebat mana prestasi pasukan anda kerana ia adalah liga yang mana apa-apa pun boleh berlaku dan semua pasukan mampu melakukan kejutan.

"Saya tidak boleh menjangkakan perlawanan mana mereka akan kalah, tetapi saya pasti mereka akan tewas musim ini," katanya.

Liverpool perlu mengatasi beberapa ujian getir lagi sekiranya berhasrat mahu menghabiskan musim ini tanpa tewas.

Paling dekat, bulan depan mereka akan berdepan musuh tradisi Everton, manakala pada April mereka akan berkunjung ke Stadium Etihad menentang Manchester City.

Pada Mei, Liverpool menjadi tuan rumah kepada Arsenal dengan mereka kemudiannya dijadualkan menutup aksi terakhir bertemu Chelsea. - AGENSI

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X