Jumaat, 21 Februari 2020 | 10:17pm
Nurul Ain Izatty Zainal.
Nurul Ain Izatty Zainal.

Cabaran besar buat saya: Nurul Ain

Kuala Lumpur: Nurul Ain Izatty Zainal menyifatkan peluang yang diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengadili aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini sebagai cabaran besar buat dirinya.

Pengadil muda yang baru berusia 22 tahun itu, bersama Rita Gani, 43 dan Nur Akmal Anuar, 32 dipilih FAM untuk menjadi barisan pengadil wanita pertama mengadili saingan Liga M.

Nurul Ain percaya pembabitan pertama pengadil wanita dalam kancah Liga M dapat membuka ruang lebih luas untuk mengetengahkan lagi bakat kaum itu dalam bidang pengadilan.

“Bagi saya langkah yang diambil FAM ini sangat bagus dan menjadi satu perkembangan baik dalam bola sepak Malaysia,” kata Nurul Ain.

“Ia juga akan memberi pengiktirafan lebih tinggi buat pengadil wanita di negara ini. Negara luar termasuk Eropah dan di Asia Tenggara seperti Thailand dan Myanmar juga sudah gunakan pengadil wanita.

“Namun ini cabaran yang sangat besar dan tugas berat bagi saya. Kritikan dan kecaman memang kita tak boleh elak, sebab itu kami perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menghadapi perkara itu.

“Apa yang penting sekarang kami perlu jalankan tugas dengan baik. Orang kata mudah (menjadi pengadil), tapi sebenarnya untuk melonjak ke hadapan banyak cabaran dan tekanan perlu dihadapi.

“Saya bangga kerana keluarga banyak menyokong dan menjadi tunjang kekuatan saya.”

Nurul Ain yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan mula bergiat secara aktif dalam bidang pengadilan pada tahun 2012 dan pernah menerima anugerah Pengadil Wanita Berpotensi 2017.

Sementara itu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan langkah memperkenalkan pengadil wanita di pentas tertinggi saingan bola sepak negara bagi menambah minat golongan itu menceburi bidang kepengadilan.

“Jumlah pengadil wanita di negara ini masih dalam kelompok yang boleh kita anggap kecil dan dengan aksi mereka di pentas Liga Super serta Liga Perdana nanti, saya pasti ia akan membuka mata banyak pihak.

“Saya yakin Rita, Nurul Ain dan Nur Akmal mampu menyahut cabaran ini dan akan melaksanakan tugas yang diberi nanti dengan sebaik mungkin,” kata Hamidin.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X