Rabu, 26 Februari 2020 | 8:15am
Griezmann (tengah) meraikan jaringannya ketika aksi perlawanan menentang Napoli di Naples. - Foto AFP
Griezmann (tengah) meraikan jaringannya ketika aksi perlawanan menentang Napoli di Naples. - Foto AFP

Griezmann selamatkan Barcelona di Napoli

NAPLES, Itali: Antoine Griezmann menyelamatkan Barcelona di Napoli apabila seri 1-1 pada saingan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara pagi ini.

Penyerang Perancis itu meledak sejurus sebelum sejam permainan di Naples selepas Dries Mertens meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-30 untuk jaringan ke-121 bersama Napoli, menyamai catatan Marek Hamsik sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu.

Barcelona menamatkan saingan dengan 10 pemain selepas Arturo Vidal dibuang padang berbaki 10 minit perlawanan kerana menerima kad kuning kedua selpas bertelagah dengan pertahanan Napoli, Mario Rui.

“Pada penamatnya ia seri dan keputusan yang baik memikirkan bahawa kami masih ada perlawanan di laman sendiri,” kata jurulatih Barcelona, Quique Setien, dengan pasukannya berkedudukan lebih baik untuk perlawanan kedua di Camp Nou pada 18 Mac.

Ia pertembungan pertama antara kedua-dua pasukan dan juga penampilan sulung Liga Juara-Juara buat Setien dan rakan sejawatan di Napoli, Gennaro Gattuso, yang mengambil alih selepas peringkat kumpulan.

“Mereka tidak menderakan kami, mereka hanya menggeletek kami,” kata Gattuso. “Keadaan bertukar buruk pada satu ketika dan mereka menghukum kami.”

Kapten Napoli, Lorenzo Insigne berkata: “Kami boleh menang, jadi kami agak kecewa. Sesuatu yang emosi untuk berdepan pemain seperti (Lionel) Messi.”

Messi gagal menjaringkan gol pada penampilan pertama di Stadio San Paolo, tempat legenda Napoli, Diego Maradona mencipta keagungan tiga dekad lalu. - AFP

Berita Harian X