Rabu, 26 Februari 2020 | 9:06am
Pengurus Chelsea, Frank Lampard (kiri) dan pemain tengah, Jorginho kecewa selepas tewas kepada Bayern Munich di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto AFP
Pengurus Chelsea, Frank Lampard (kiri) dan pemain tengah, Jorginho kecewa selepas tewas kepada Bayern Munich di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto AFP

Lampard sedar tahap sebenar Chelsea

LONDON: Pengurus Chelsea, Frank Lampard mengakui tewas 3-0 di laman sendiri kepada Bayern Munich pada pusingan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara adalah petanda sebenar betapa jauh mereka ketinggalan dalam kalangan kelab elit Eropah.

Lampard menjadi kapten ketika Chelsea menewaskan Bayern di laman sendiri pada final 2012 tetapi jurang antara kedua-dua pasukan itu sudah semakin membesar sejak kebelakangan ini dan dibuktikan dengan keputusan di Stamford Bridge.

Dua jaringan pantas Serge Gnabry pada awal babak kedua menunjukkan dominasi Bayern yang turut mengawal 45 minit pertama tetapi digagalkan dengan penyudah kurang tajam serta aksi baik penjaga gol Chelsea, Willy Caballero.

Robert Lewandowski kemudian menambah jaringan berbaki 14 minit permainan yang juga jaringan ke-11 pemain itu dalam Liga Juara-Juara.

“Kadangkala anda perlu menerimanya dengan jujur,” kata Lampard. “Mereka lebih baik daripada kami dalam semua bahagian. Ia perlu difikirkan dengan serius.

“Adakah saya terkejut? Saya rasa kami boleh buat lebih baik. Mereka menunjukkan tahap mana pasukan mereka berada, justeru kenapa mereka mencabar persada Bundesliga dan Liga Juara-Juara setiap tahun.”

Chelsea kekal dalam kedudukan terbaik untuk layak ke Liga Juara-Juara sekali lagi musim depan ketika mereka kini berkedudukan keempat Liga Perdana.

Bagaimanapun lima kemenangan dalam 15 saingan liga menjadi amaran bahawa Chelsea akan bergelut untuk bersaing pada tahap terbaik saingan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X