Khamis, 27 Februari 2020 | 11:06am
PENJAGA gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim. - Foto Hairul Anuar Rahim
PENJAGA gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim. - Foto Hairul Anuar Rahim

'Gemuruh lain macam kali ini'

KUALA LUMPUR: Penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim mengakui sudah merasai debaran menjelang aksi Piala Sultan Ahmad Shah berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, esok.

Malah, Ifwat mendedahkan debaran yang dirasai kali ini berbeza berbanding bertandang ke Johor Bahru sebelum ini berdasarkan aura gelanggang baharu JDT yang bakal dipenuhi penyokong tuan rumah.

Pemain berusia 24 tahun itu bagaimanapun enggan menjadikan kelebihan yang ada pada JDT melemahkan semangat Lang Merah yang turut menaruh impian menjulang trofi pembuka tirai Liga Super itu.

“Saya boleh katakan aksi Sumbangsih edisi ini paling memberi debaran dan benar-benar buat saya rasa gemuruh kerana kita sudah boleh ramal aura di stadium baharu JDT itu bukan calang-calang.

“Tapi kalau ikutkan, memang sebelum masuk padang, kita semua akan rasa gementar dengan suasana di sana pastinya lebih memihak kepada JDT, tetapi saya percaya kami akan lebih tenang bila sudah masuk padang untuk sepak mula.

“Kami kena buktikan Kedah mampu mempamerkan aksi terbaik untuk memenangi perlawanan itu dan yang penting perlu memberikan tentangan sengit kerana pemain JDT pasti lebih bersemangat dengan aura stadium baharu mereka," katanya.

JDT akan turun selaku juara bertahan selepas muncul juara musim lalu dengan mengalahkan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Malah, perlawanan itu juga menjadi medan buat Kedah membalas dendam terhadap Harimau Selatan selepas mereka tewas 1-2 dalam perebutan trofi itu, dua tahun lalu.

Berita Harian X