Khamis, 27 Februari 2020 | 11:12pm
Jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria. - Foto Zaman Huri Isa
Jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria. - Foto Zaman Huri Isa

Pertarungan taktikal 'otai', 'ubi'

KUALA LUMPUR: ‘Otai’ menentang ‘ubi’.

Mungkin itu takrifan lebih mudah menjelaskan mengenai persaingan membabitkan 12 jurulatih yang akan membimbing pasukan masing-masing bagi memburu takhta Liga Super musim ini.

Menariknya, saingan musim ini apabila kelompok jurulatih seakan terbahagi kepada dua iaitu jurulatih berpengalaman yang sudah berusia dan satu lagi kelompok dibarisi jurulatih yang boleh dianggap muda dan ada antaranya masih ‘hijau’ dalam arena kejurulatihan.

Kelompok jurulatih berpengalaman sememangnya bukan calang-calang dan ada antaranya berstatus jurulatih kebangsaan seperti B Sathianathan (Selangor) dan Dollah Salleh (Pahang) selain beberapa jurulatih senior yang memiliki reputasi tersendiri seperti Zainal Abidin Hassan (Melaka) dan Mehmet Durakovic (Perak).

Ketua Jurulatih PFA, Dollah Salleh. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Ketua Jurulatih PFA, Dollah Salleh. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sebelum ini, kebanyakan pasukan Liga Super seakan takut menggunakan khidmat jurulatih muda sebagai pengendali sehingga menyaksikan berlakunya situasi ‘kitaran jurulatih’ apabila jurulatih sama sahaja yang diberikan peluang mengendalikan pasukan di Liga Super.

Namun, musim ini menyaksikan beberapa jurulatih muda diberi kepercayaan mengendalikan pasukan sekali gus menampilkan beberapa muka segar.

Walaupun masih muda namun usia tidak seharusnya menjadi ukuran kerana mereka tetap memiliki kredibiliti antaranya pengendali yang ‘kaya trofi’ iaitu Benjamin Mora, ‘Pep Guardiola Singapura’, Aidil Sharin Sahak (Kedah) serta jurulatih berpotensi seperti Nidzam Jamil (FELDA United) dan Nafuzi Zain (TFC).

Gambar fail, Ketua Pasukan JDT, Hariss Harun (kiri) bersama Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora (kanan) ketika sidang media Piala Sumbangsih pertembungan JDT dengan KEDAH, di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Gambar fail, Ketua Pasukan JDT, Hariss Harun (kiri) bersama Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora (kanan) ketika sidang media Piala Sumbangsih pertembungan JDT dengan KEDAH, di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin


Apapun, percaturan dan taktikal setiap jurulatih bakal menjadi ‘senjata’ yang akan digunakan dalam misi meraih kemenangan demi kemenangan sebelum dinobatkan sebagai pasukan terunggul.

Mengulas mengenai senario itu, jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria melihat perkembangan itu sebagai satu petanda positif apabila jurulatih muda diberi kepercayaan mengendalikan pasukan.

“Saya lihat ini satu peluang yang baik kepada jurulatih muda membuktikan kemampuan mereka. Inilah peluang mereka untuk mencipta nama.

“Jadi, mereka perlu tunjukkan mereka juga ada kaliber untuk mengendalikan pasukan pada peringkat yang tertinggi dalam saingan bola sepak di negara ini.

“Memang ada jurulatih muda mendapat pasukan yang bagus tetapi untuk jurulatih muda yang bersama pasukan ‘biasa-biasa’, mereka mungkin tidak rugi apa-apa tetapi ini bukan alasan untuk mereka cepat berputus asa dan seharusnya bekerja keras mendapatkan yang terbaik.

“Risiko itu tetap ada kerana mungkin ada yang akan ‘tumbang’ tetapi kalau mereka berjaya membawa pasukan sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik, saya rasa itu sudah cukup bagus,” katanya.

Dalam masa sama, bekas jurulatih UiTM FC ini mengakui Mora kekal menjadi ‘jurulatih nombor satu negara’ dengan kualiti yang dimiliki pasukan itu apatah lagi selepas mendominasi saingan Liga Super untuk enam musim berturut turut.

“Sukar untuk kita katakan jurulatih ini hebat atau jurulatih itu tidak bagus. Kita perlu lihat banyak faktor antaranya material ataupun apa yang pasukan itu ada untuk membentuk pasukan.

Ketua Jurulatih Felda United, Mohd Nidzam Jamil. - Foto Rasul Azli Samad
Ketua Jurulatih Felda United, Mohd Nidzam Jamil. - Foto Rasul Azli Samad

“Kalau material sudah bagus tetapi jurulatih tak bagus, sukar juga menghasilkan sesuatu dan kalau jurulatihnya bagus tetapi material tidak ada pun tidak akan menjadi juga.

“Tidak dinafikan JDT memiliki material yang terbaik dalam semua 12 pasukan Liga Super dan berdasarkan apa yang mereka ada, mungkin kejuaraan Liga Super musim ini akan terus menjadi milik mereka.

“Dengan material sebegitu di JDT, letaklah sesiapa pun menjadi jurulatih, saya percaya mereka tetap boleh jadi juara,” jelas Ismail.

Bagaimanapun, Ismail Zakaria melihat beberapa pengendali Liga Super tampak mampu mencabar JDT musim ini antaranya Dollah, Sathianathan, Aidil dan Nafuzi.

“Selain JDT, saya nampak empat pasukan ini ada material yang baik dan mereka ada kemampuan menyaingi JDT musim ini.

“Kedah dan Selangor ada senarai pemain yang cukup baik dan kita tahu Dollah adalah jurulatih yang berpengalaman. Nafuzi pun saya lihat ada potensi untuk mencabar empat jurulatih ini,” katanya.

Selain itu, dua pasukan dilihat berada dalam zon bahaya namun Ismail mengharapkan barisan pengurusan dapat memberikan peluang dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka.

“Dua pasukan ini adalah PDRM dan UiTM FC yang mungkin akan bergelut di mana mereka berada di bawah kendalian jurulatih baharu dan dibarisi pemain baharu juga.

“Dengan apa yang mereka ada, mereka akan berdepan cabaran sukar bersaing dalam Liga Super namun pengurusan pun perlu memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

Ketua Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mohammad Zain. - Foto Effendy Rashid
Ketua Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mohammad Zain. - Foto Effendy Rashid

Jurulatih ‘Otai’
B Satianathan (Selangor) 61 tahun
Zainal Abidin Hassan (Melaka) 57 tahun
Dollah Salleh (Pahang) 56 tahun
Mehmet Durakovic (Perak) 54 tahun
K Devan (PJ City FC) 52 tahun
Frank Bernhardt (UiTM FC) 50 tahun

Jurulatih ‘Ubi’
Nidzam Jamil (FELDA United) 39 tahun
Benjamin Mora (JDT) 40 tahun
Nafuzi Zain (TFC) 41 tahun
Aidil Sharin Sahak (Kedah) 42 tahun
Kurniawan Dwi Yulianto (Sabah) 43 tahun
Ishak Kunju Mohamad (PDRM) 46 tahun

Ranking jurulatih lima terbaik pilihan Ismail
1 Benjamin Mora (JDT)
2 Dollah Salleh (Pahang)
3 B Satianathan (Selangor)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X