Jumaat, 28 Februari 2020 | 11:06pm
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bersama pemain dan pegawai JDT meraikan kemenangan Piala Sumbangsih 2020, JDT menewaskan KEDAH 1-0, di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JDT baham Lang Merah

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar hatrik apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat tiga musim berturut-turut selepas menewaskan Kedah 1-0 pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Gol tunggal Mauricio Dos Santos sudah memadai buat skuad Harimau Selatan melakar kemenangan kelima aksi sumbangsih sekali gus merangkul tiga mata pada aksi liga yang menyaksikan aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan.

Tiada perubahan ketara dilakukan jurulatih Benjamin Mora dalam kesebelasan utama apabila mengekalkan muka lama dan hanya menyenaraikan Matthew Davies membarisi skuad utama selaku pemain baharu Harimau Selatan manakala Liridon Krasniqi yang pada awalnya dijangka diturunkan sekadar berada di bangku simpanan.

 Pemain dan pegawai JDT meraikan kemenangan Piala Sumbangsih 2020, JDT menewaskan KEDAH 1-0, di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Pemain dan pegawai JDT meraikan kemenangan Piala Sumbangsih 2020, JDT menewaskan KEDAH 1-0, di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pemain JDT, Muhammad Safawi Rashid (29) diasak pemain Kedah, Muhammad Shakir Hamzah (11) ketika perlawanan Piala Sumbangsih 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Pemain JDT, Muhammad Safawi Rashid (29) diasak pemain Kedah, Muhammad Shakir Hamzah (11) ketika perlawanan Piala Sumbangsih 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Percubaan pertama skuad Lang Merah hadir pada minit kesembilan selepas bola sepakan lintang Kipre Tchetche hampir disambar Hadin Azman yang menyepak bola tersasar dari gawang gol tuan rumah dan Hadin sekali lagi melakukan percubaan selang seminit namun Farizal Marlias sudah bersedia menangkap bola kemas.

Sepanjang 20 minit perlawanan yang berintensiti tinggi, anak didik Aidil Shahrin Sahak tampak lebih berbahaya apabila gerakan menarik Azmeer Yusof yang melintangkan bola tepat kepada kapten Baddrol Bakhtiar yang kemudian melencongkan bola namun sipi dari gawang gol skuad Harimau Selatan.

Skuad Harimau Selatan yang `lambat panas' mula mencemaskan gawang pelawat pada minit ke-36 selepas bola gerakan Leandro Velazquez mengumpan bola kepada Gonzalo Cabrera yang pantas merembat bola tepat ke penjuru kiri namun penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim sempat melayangkan badan menepis bola keluar.

Pemain JDT, Lavere Lawrence Corbinong (22) diasak pemain Kedah, Mohd Rizal Mohd Ghazali (15) ketika perlawanan Piala Sumbangsih 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Ketika aksi berbaki seminit ditamatkan pada babak pertama, berpunca daripada bola sepakan lintang Cabrera menyaksikan pemain pertahanan JDT, Dos Santos sempat melonjak di celah benteng pertahanan pelawat untuk menanduk masuk menewaskan Ifwat Akmal.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan menambah jaringan namun pada minit ke-53, Safawi Rasid terlepas peluang terhidang biarpun berjaya menyusup masuk ke dalam kotak penalti namun bola tolakannya sekadar sipi di penjuru kanan gawang pelawat ketika Ifwat sudah tertewas.

Apa yang pasti kemenangan JDT di `rumah baharu' mereka bakal memberi isyarat awal betapa pasukan itu tampak bersedia mengharungi ranjau berliku saingan liga elit domestik sambil mengintai kejuaraan liga ketujuh berturut-turut.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X