Sabtu, 29 Februari 2020 | 2:35pm
Pasukan JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih 2020 selepas menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim Gelang Patah. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pasukan JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih 2020 selepas menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim Gelang Patah. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Mora akui nasib menyebelahi JDT

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan nasib menyebelahi skuad itu untuk menang tipis 1-0 ke atas Kedah pada aksi Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Mora menegaskan skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak memberi tekanan hebat kepada barisan pemainnya tatkala mereka menguasai perlawanan pada babak pertama dan mencipta beberapa peluang memburu jaringan.

Katanya, ia perlawanan sukar buat JDT tatkala skuad Lang Merah menunjukkan peningkatan mendadak berbanding aksi final Piala Malaysia musim lalu apabila mereka menyusun permainan dengan begitu menarik terutama gandingan serangan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche sering menyusahkan benteng JDT.

"Kedua-dua penyerang Kedah kerap beri tekanan terhadap benteng kami. Mereka sentiasa berlegar di kawasan kotak penalti dan agak sukar untuk membaca apa yang mereka mahu lakukan namun pujian kepada benteg JDT yang bertindak menyekat kelicikan barisan serangan Kedah.

"Benteng kami membentuk permainan yang tersusun untuk sekat mereka dan saya akui ia perlawanan sukar malah setiap bola umpanan dalam perlawanan itu juga kerap tersekat dan tidak dinafikan ia perlawanan Liga Super pertama dan pemain juga tampak bergelut pada aksi itu.

"Kami bernasib baik apabila menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan babak pertama dan bermula aksi babak kedua, kami menguasai perlawanan dengan memberi tekanan kepada benteng Kedah namun gagal menambah jaringan," katanya.

Dalam perlawanan itu, JDT mencipta sejarah dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) apabila melakar hatrik memenangi Piala Sumbangsih berturut-turut tatkala Mauricio Dos Santos muncul wira skuad Harimau Selatan selepas gol tunggal pada minit ke-44 memastikan skuad Harimau Selatan mencatat nama selaku pemenang kali kelima piala berkenaan.

Mengulas mengenai permainan Matthew Davies dan Corbin Ong di posisi pertahanan kanan dan kiri, katanya pemain itu jarang melakukan larian ke atas untuk membantu barisan serangan.

Katanya, langkah itu bagi menyekat pergerakan barisan sayap Kedah dan penyerang skuad Lang Merah yang tampak begitu licik untuk cuba mengkucar-kacirkan benteng JDT dan dia mengarahkan Corbin dan Davies untuk menutup ruang bagi menghalang gerakan berbahaya Kedah malah taktikal itu tampak berkesan.

"Untuk Matt (Davies) dan Corbin melakukan `overlapping' hanya sebagai pilihan sahaja kerana kami ada Safawi (Rasid), Gonzalo (Cabrera) dan Diogo (Luis Santo) untuk bergerak melakukan serangan sambil di bantu barisan pemain tengah JDT.

"Apapun tiga mata milik kami dan mengekalkan Piala Sumbangsih tiga musim berturut-turut dan banyak lagi kerja yang perlu kami lakukan dan kemenangan ini pasti menyuntik moral pemain supaya lebih bersedia mengharungi aksi seterusnya," kata Mora.

Berita Harian X