X
Ahad, 8 March 2020 | 8:01am
Lionel Messi (kanan) cuba mendapatkan gol ketika menentang Real Sociedad awal pagi tadi. - REUTERS
Lionel Messi (kanan) cuba mendapatkan gol ketika menentang Real Sociedad awal pagi tadi. - REUTERS

Penalti Messi selamatkan Barcelona

BARCELONA: Quique Setien menegaskan Barcelona masih belum hilang keyakinan walaupun memerlukan penalti lewat permainan disempurnakan Lionel Messi, untuk mengatasi Real Sociedad 1-0 awal pagi tadi di Camp Nou.

Jaringan ke-24 Messi musim ini, kelima dalam empat perlawanan, sudah cukup untuk menyelamatkan Barca, yang menampilkan aksi kurang menarik dan boleh membawa lebih kekecewaan selepas kalah di tangan Real Madrid minggu lalu.

Ketegangan muncul di Camp Nou, sebahagian penyokong sendiri menyatakan rasa tidak puas hati dengan Jordi Alba dilihat menutup telinga.

“Kami tidak hilang keyakinan dalam apa yang kami lakukan,” kata Setien. “Penyokong kadangkala tidak menjangkakan lawan akan mengekang anda tetapi anda perlu ingat bahawa Real Sociedad adalah pasukan yang hebat.”

Mengenai reaksinya, Alba berkata: “Saya menghormati penyokong tetapi penyokong juga perlu menghormati saya. Tiada siapa mahu diejek, dan lebih teruk selepas 15 minit ketika kedudukan 0-0.”

Madrid jatuh ke kedudukan kedua liga tetapi boleh kembali dengan kelebihan satu mata dengan menang berdepan pasukan bergelut, Real Betis malam ini.

Kejayaan mereka dalam saingan Clasico di Santiago Bernabeu kembali memberi tekanan kepada Barcelona, yang sukar membalas dengan skuad Setien terpaksa bergantung kepada VAR untuk penalti pada minit ke-81. - AFP

Berita Harian X