Selasa, 17 March 2020 | 11:23am

Liverpool tak boleh dinobat juara

LONDON: Liverpool tidak boleh dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sekiranya saingan musim ini tidak dapat diteruskan susulan wabak coronavirus, kata Alan Shearer.

Persoalan timbul berhubung nasib EPL seandainya saingan yang digantung sehingga 3 April itu tidak dapat dilangsungkan kembali.

The Reds berkelebihan 25 mata di hadapan meninggalkan Manchester City yang memiliki satu perlawanan dalam tangan ketika saingan berbaki sembilan perlawanan lagi.

Namun Shearer yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman EPL itu berkata Liverpool ‘tidak sepatutnya’ diberikan gelaran juara jika kempen musim ini tidak disempurnakan.

“Kalau saingan musim ini tidak dapat diteruskan, kita seharusnya tidak ada pemenang ataupun pasukan yang perlu disingkirkan.

“Mungkin ini satu kenyataan yang perit lebih-lebih lagi buat Liverpool namun hanya inilah caranya.

“Kalau anda tidak dapat menamatkan baki kempen jadi anda tidak boleh memberikan gelaran juara mahupun menyingkirkan mana-mana pasukan.”

Liverpool kini hanya memerlukan dua kemenangan untuk meraih gelaran liga buat kali pertama sejak 1990.

Shearer berkata walaupun anak buah Jurgen Klopp itu hampir merangkul kejuaraan namun gelaran itu sewajarnya tidak diberikan kepada pasukan itu.

“Saya tidak nampak adakah adil memberikan gelaran juara kepada mereka walaupun jelas tiada pasukan dapat mengejar mereka.

“Mereka hanya perlukan enam mata untuk menjadi juara tetapi mereka belum lagi memenangi enam mata itu. Sebab itulah saingan musim ini sepatutnya tidak dikira.

“Ia senario berbeza jika saingan liga digantung selepas mereka memiliki mata untuk menjadi juara. Buat masa ini, ia tidak berlaku dan ini adalah cara terbaik.” -Agensi

Berita Harian X