Sabtu, 21 March 2020 | 10:40am
Pengendali Napoli, Gennaro Gattuso. - Foto Yahoo
Pengendali Napoli, Gennaro Gattuso. - Foto Yahoo

COVID-19: Napoli berdegil turun latihan

NAPLES, Itali: Kelab Serie A Napoli dilaporkan sedia kembali menjalani latihan walaupun keadaan masih belum selamat daripada ancaman pandemik COVID-19.

Napoli akan kembali berlatih minggu depan ketika Itali sedang berhadapan perintah berkurung akibat pandemik berkenaan.

Acara sukan di Itali tergendali sejak 9 Mac susulan penularan COVID-19, dengan Serie A pada awalnya diadakan secara tertutup sebelum ditangguhkan sepenuhnya.

COVID-19 sudah mengorbankan 4,032 nyawa di Itali, lebih daripada negara-negara lain, dengan wilayah di utara Bergamo dan Lombardy mencatat kes tertinggi.

Presiden Kesatuan Pemain Itali (AIC) Damiano Tommasi berkata, tidak selamat untuk pemain-pemain kembali bekerja ketika arahan berkurung masih dikuatkuasakan di seluruh negara.

Namun skuad Serie A Cagliari dijangka akan mengadakan latihan bermula Isnin dengan pemain-pemain dipecahkan kepada dua kumpulan dan Napoli akan kembali berlatih dua hari selepas itu.

“SSC Napoli mengumumkan yang pasukan akan kembali menjalani latihan di Pusat Teknikal pada Rabu 25 Mac dengan sesi pagi,” kata kelab itu semalam.

Lazio juga dilaporkan dalam persedian untuk kembali berlatih minggu depan.

Beberapa pemain Serie A didapati positif COVID-19, termasukan gandingan Juventus Daniele Rugani dan Blaise Matuidi.

Lima pemain Sampdoria, temasukan bekas penyerang Southamptin Manolo Gabbiadini, turut dijangkiti, manakala tiga pemain Fiorentina juga positif COVID-19.

Walaupun Itali paling terkesan dengan pandemik berkenaan, Menteri Sukan Vincenzo Spadafora mensasarkan 3 Mei untuk Serie A kembali berlangsung. – AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X