Jumaat, 27 March 2020 | 10:56am
Kapten pasukan JDT, Hariss Harun. - Foto NSTP
Kapten pasukan JDT, Hariss Harun. - Foto NSTP

Pemain JDT sedia 'berkorban'

KUALA LUMPUR:  Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan bola sepak pertama di negara ini yang ‘berkorban’ untuk membantu pihak yang berdepan masalah susulan penularan wabak COVID-19.

Menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, kapten pasukan Hariss Harun mengesahkan pemain pasukan itu akan menyumbangkan sebahagian gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor untuk membantu meringankan beban pihak yang terjejas dengan situasi terbabit.

“Penularan wabak COVID-19 telah mencabar setiap dari kita dan masyarakat perlu sama-sama berganding bahu menghadapi waktu mencabar ini.

“Saya berharap sumbangan kami dapat membantu banyak pihak dan saya menyeru agar ramai lagi tampil ke hadapan dan melakukan apa jua bentuk sumbangan bagi membantu kita semua mengharungi episod gelap ini,” kata Hariss.

Sebagai rekod, wabak COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan virus itu.

Dengan pelaksanaan PKP, hanya individu yang terbabit dalam perkhidmatan penting dibenarkan bekerja sekali gus menyaksikan beberapa pihak seperti peniaga, penjaja kecil serta individu bergaji harian terjejas kerana tidak dapat keluar bekerja.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X