Jumaat, 3 April 2020 | 8:29am
BINTANG Uruguay, Luis Suarez.
BINTANG Uruguay, Luis Suarez.

Suarez kecil hati

MONTEVIDEO: Bintang Uruguay, Luis Suarez mengakui tersinggung susulan kritikan yang mendakwa dia dan rakan pemain di Barcelona mengambil masa yang lama untuk bersetuju memotong gaji bagi membantu kakitangan kelab yang lain.

Isnin lalu, bintang sensasi Argentina, Lionel Messi mengumumkan pemain Barcelona  bersetuju memotong 70 peratus gaji mereka bagi memastikan kakitangan kelab yang lain menerima gaji penuh susulan krisis penularan COVID-19 yang semakin serius di Sepanyol.

Pemain bola sepak di seluruh liga utama Eropah dikecam selepas segelintir kelab memotong gaji kakitangan ketika pemain yang menerima gaji lumayan tidak terkesan dengan krisis yang melanda itu.

"Ia sesuatu yang mengecewakan kerana kami adalah yang pertama mahukan persetujuan dicapai berhubung perkara ini (pemotongan gaji)," kata Suarez kepada stesyen radio Uruguay, Sport890.

"Kami sedar situasi yang dialami kelab dan situasi yang dihadapi seluruh dunia ketika ini.

"Namun, orang ramai bercakap seperti kami pemain tidak mahu bertolak ansur selepas pemain bola keranjang dan bola baling mencapai persetujuan.

"Kami tidak mencapai persetujuan awal kerana kami mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kelab, diri kami dan cuba membantu kakitangan kelab yang lain."

Suarez masih berada di Sepanyol, berbeza dengan rakan senegara yang lain seperti Edinson Cavani dan Diego Godin yang menggesa Uruguay untuk melaksana perintah berkurung.

"Ia adalah jalan penyelesaian terbaik untuk semua orang. Saya sedar ia sukar dilaksanakan di Uruguay...tetapi jika kita tidak  bersatu hati, ia adalah sukar untuk mengatasi situasi ini," kata Suarez.

Uruguay menutup sebahagian sempadannya, menutup sekolah dan pusat membeli-belah selain menasihatkan orang ramai untuk melakukan penjarakan sosial dan tinggal di rumah, tetapi tidak mengenakan perintah berkurung.

Setakat ini, negara berkenaan merekodkan 350 kes COVID0-19 dan empat kematian. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X