Jumaat, 3 April 2020 | 1:32pm
PEMAIN tengah Manchester United, Andreas Pereira.
PEMAIN tengah Manchester United, Andreas Pereira.

Pereira rela beraksi setiap hari

LONDON: Pemain tengah Manchester United, Andreas Pereira berkata dia rela beraksi dalam perlawanan setiap hari sekiranya ia penyelesaian terbaik bagi membolehkan saingan Liga Perdana Inggeris musim ini ditamatkan.

Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini menyaksikan semua saingan utama di Eropah ditangguhkan termasuk Liga Perdana selain kejohanan di bawah kelolaan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

United masih berbaki sembilan perlawanan termasuk komitmen dalam saingan Liga Europa dan Piala FA biarpun masih belum ada kepastian bila saingan akan kembali bersambung.

Ada cadangan yang mahukan kempen musim ini diisytiharkan batal dan tidak sah tetapi Pereira berkata dia lebih rela mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan saingan ditamatkan termasuklah jika ia memberi beban tambahan kepada pemain.

"Bagi saya, saya mahu menamatkan saingan musim ini secepat mungkin. Saya faham sekarang adalah tempoh yang sukar dan kesihatan orang ramai adalah lebih penting.

"Namun, saya mahu menamatkan saingan musim ini biarpun terpaksa bermain setiap dalam tempoh seminggu. Ia tidak adil jika saingan musim ini dibatalkan," kata Pereira yang sudah membuat 37 penampilan bersama United musim ini. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X