Khamis, 30 April 2020 | 10:05pm
Bekas penyerang kebangsaan, Azlan Johar mencadangkan Liga Malaysia diubah format. Foto Ihsan Azlan Johar
Bekas penyerang kebangsaan, Azlan Johar mencadangkan Liga Malaysia diubah format. Foto Ihsan Azlan Johar

Liga M perlu ubah format - Azlan

KUALA TERENGGANU: Format pertandingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini perlu diubah.

Ini pandangan daripada bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar memandangkan negara kini berdepan dengan krisis pandemik COVID-19.

Bekas penyerang Terengganu musim 1987 hingga 1989 itu juga mengharapkan gaji pemain dapat diselesaikan dalam situasi menang-menang sambil menuntut Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mampu memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan setiap pemain terbela.

"Pertama semua pasukan perlu akur dengan situasi sekarang dan wajib mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung wabak ini demi kebaikan semua termasuk pemain dan penonton.

"Jadi melihat situasi terkini, saya mencadangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) supaya format pertandingan Liga M musim ini diubah sekiranya mahu liga diteruskan.

"Menerusi format baharu itu perlawanan hanya perlu dilangsungkan sekali sahaja tanpa perlawanan timbal balik dengan sesebuah pasukan seperti mana liga ketika era 70-an dulu, dan perlawanan sebolehnya dilangsungkan pada waktu petang untuk menjimatkan kos.

"Jadi ini bermakna tiada pusingan kedua, bagi setiap pasukan hanya akan beraksi sebanyak enam kali sahaja di laman sendiri manakala enam perlawanan lagi di tempat lawan dan gelanggang pertandingan itu haruslah diundi.

"Sebagai contoh jika sebelum ini Terengganu FC (TFC) bertemu Kedah akan ada perlawanan timbal balik dengan perlawanan dilangsungkan di setiap stadium, tapi jika diubah format baharu, hanya sekali sahaja perlawanan berlangsung.

"Ini bagi memastikan liga berlangsung dalam masa yang cepat kerana kesuntukan masa dan jika boleh hanya liga dan Piala Malaysia diteruskan manakala Piala FA perlu diketepikan musim ini.

"Kehadiran penonton pula perlu mengikut arahan semasa daripada kerajaan dan setiap pasukan usah mengabaikan keselamatan peminat mereka kerana wabak pandemik ini berlaku hampir seluruh dunia," kata Azlan yang juga bekas jurulatih pasukan kelab T-Team.

Berkaitan gaji pula PFAM boleh membantu dalam menangani perkara ini bagi memastikan kebajikan pemain tidak terabai selain kantung persatuan juga tidak kempis.

"Peranan PFAM bukan hanya setakat berkaitan gaji tapi lebih luas lagi dalam membantu para pemain menjadi insan yang mampu menjana pendapatan sendiri selepas pemain bersara ataupun ketika masih beraksi.

"PFAM perlu 'mendewasakan' pemain bola sepak ke arah lebih profesional dan berjaya dalam hidup, ini masanya persatuan itu untuk membantu pemain contoh menceburi dalam dunia perniagaan seperti mana yang dilakukan beberapa pemain yang sudahpun ligat mencari sumber pendapatan lain," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X