Isnin, 11 Mei 2020 | 12:23pm
PENYERANG Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe.
PENYERANG Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe.

Mbappe pengganti Ronaldo, Messi

LONDON: Bekas pengendali Arsenal Arsene Wenger memberi isyarat yang Kylian Mbappe bakal merampas gelaran pemain terbaik dunia daripada Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Penyerang Juventus Ronaldo, 35, dan kapten Barcelona Messi, 32, menguasai pentas bola sepak dunia lebih 10 tahun tetapi semakin menuju ke penghujung karier masing-masing.

Pengendali legenda dari Perancis itu percaya penyerang Paris Saint-Germain Mbappe adalah pemain yang mampu mengambil alih takhta berkenaan.

"Lionel Messi... kita tidak pernah melihat pemain sepertinya yang amat kreatif dalam apa keadaan sekalipun.

"Pemain-pemain ini semakin menuju ke penghujung - Ronaldo dan Messi.

"Kini ia tentang generasi seterusnya dan ia mungkin dari Perancis. Ketika ini, calon utama adalah Mbappe.

"Tetapi England juga berpotensi. Mereka cemerlang di peringkat remaja. Gareth Southgate melakukan dengan baik sekali di Piala Dunia.

"Saya mengharapkan mereka menjadi pencabar utama di Kejuaraan Eropah," kata Wenger.

Sepanjang 22 tahun membimbing Arsenal, Wenger dilaporkan berpeluang menandatangani Ronaldo, Messi dan Mbappe.

Ronald ketika berusia 18 tahun pernah dibawa melawat kem latihan Arsenal dan yuran 4 juta pound (RM21.32 juta) dipersetujui, namun akhirnya pemain sayap Portugal itu menyertai Manchester United.

Wenger pernah menawarkan kontrak kepada Messi pada akhir musim 2002-03 tetapi bintang Argentina itu mahu kekal di Nou Camp.

Wenger terlepas peluang mengikat Mbappe walaupun sudah berunding dengan bekas penyerang Monaco itu pada tahun 2016. - AGENSI

Berita Harian X