Selasa, 12 Mei 2020 | 9:54pm
Presiden La Liga, Javier Tebas. - Arkib NSTP
Presiden La Liga, Javier Tebas. - Arkib NSTP

Presiden La Liga harap saingan disambung 12 Jun

LONDON: Presiden La Liga, Javier Tebas berharap saingan liga utama Sepanyol dapat disambung semula pada 12 Jun ini.

Beliau juga menjelaskan ujian COVID-19 yang dilakukan akan memastikan 'sifar risiko' terhadap pemain ketika perlawanan.

Ahad lalu, liga terbabit mengesahkan lima pemain positif virus berkenaan yang turut membabitkan dua saingan teratas Sepanyol.

La Liga mula membuat ujian ke atas pemain minggu lalu selepas merancang untuk meneruskan kembali latihan dan beraksi di stadium tertutup.

"Saya mahu (tarikh menyambung semula liga) pada 12 Jun," kata Tebas kepada Movistar.

"Tetapi kita harus berhati-hati. Ia akan bergantung pada banyak faktor seperti kemungkinan peningkatan jangkitan, faktor yang bukan bergantung pada bola sepak tetapi pada masyarakat Sepanyol.

"Risiko semasa permainan akan menjadi sifar, atau hampir tiada kerana pemain akan diuji - dengan kemungkinan hanya lima peratus kadar kegagalan - 24 jam sebelumnya." - AGENSI

Berita Harian X