Jumaat, 22 Mei 2020 | 10:45pm
Shamsurin (belakang kiri) bersama keluarga.
Shamsurin (belakang kiri) bersama keluarga.

Pemain muda perlu dua bulan kembali cergas - Shamsurin

MELAKA: Jurulatih Akademi Bolasepak Melaka (ABM), Shamsurin Abd Rahman berkata pemain muda

perlu menjalani latihan sekurang-kurangnya bagi tempoh selama dua bulan sebelum dapat kembali sentuhan sebenar.

Katanya, jika aksi saingan liga peringkat remaja seperti saingan Piala Presiden, Belia dan Liga Kementerian Pendidikan (KPM) disambung selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka memerlukan tempoh berkenaan sebelum mampu menampilkan persembahan berkualiti.

Bekas penyerang kebangsaan pada 1990an itu yang kini melatih ABM di Liga KPM mengakui, momentum 30 pemain bimbingannya dilihat pada tahap yang positif sebelum pelaksanaan PKP namun selepas ini mereka perlu bekerja keras untuk kembali cergas.

"Sehubungan itu, saya meminta semua pemain terbabit menjalani latihan sendiri dan mengekalkan kecergasan masing-masing bagi memastikan berat badan tidak naik mendadak sehingga boleh menjejaskan prestasi dan persembahan.

"Dengan pelbagai hidangan sepanjang Syawal, selain kekurangan latihan fizikal di lokasi sesuai terutama di padang, pastinya akan menyebabkan mereka lebih terdedah kepada penambahan berat badan mengejutkan seandainya mengambil mudah berkaitan kecergasan," katanya.

Shamsurin yang juga jurulatih Sekolah Sukan Seri Kota, Melaka berjaya membawa skuad terbabit mara ke suku akhir pada saingan tahun lalu sebelum tewas kepada Akademi Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

Berita Harian X