Sabtu, 23 Mei 2020 | 6:41pm

Pertahanan Lang Merah jual Lemang Medan di Kuala Lumpur

ALOR SETAR: Pemain pertahanan kental Kedah, Azmeer Yusof mengambil kesempatan terluang menjelang Aidilfitri kali ini dengan menjual lemang yang beri nama Lemang Medan berhampiran kediamannya di Kuala Lumpur.

Lebih menarik, beliau yang dibantu sepupunya dan tiga pekerja ini turut menyediakan resepi istimewa berupa rendang ayam dan daging untuk juadah hidangan sepanjang Aidilfitri dengan harga istimewa.

"Lemang Medan ini saya namakan sempena nama tempat tinggal saya dan keluarga di Kuala Lumpur. Saya bersama sepupu sedang berusaha menyediakan resepi terbaik bagi memastikan pelanggan berpuas hati.

"Harga yang kami tawarkan untuk lemang ini adalah bermula dari RM13 hingga RM17 manakala rendang RM10 satu bekas," katanya.

Azmeer tidak menolak kebanyakan warga kota di Lembah Kelang pastinya merindui masakan kampung masing-masing terutama makanan tradisional seperti lemang yang wajib dihidangkan di pagi syawal.

"Kepada warga kota yang tidak dapat pulang berhari raya di kampung tahun ini, mereka boleh mengubati sedikit kerinduan dengan mencuba Lemang Medan kami yang dijual di Kampung Medan, Wira Utama, Jalan Ipoh iaitu berhampiran stesen KTM Kampung Batu."

"Kami menjalankan perniagaan lemang dalam tempoh masa yang dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sasaran kami adalah sepanjang minggu pertama di bulan syawal ini. " katanya.

Selain menjalankan perniagaan ikan sejak awal Ramadan, Azmeer turut aktif menjual lantai kayu, baju melayu dan seluar sukan khas untuk muslim.

Berita Harian X