Ahad, 24 Mei 2020 | 4:58pm
Karim Pin (duduk depan tiga kanan) menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Selayang. FOTO Ihsan Karim.
Karim Pin (duduk depan tiga kanan) menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Selayang. FOTO Ihsan Karim.

Karim Pin akui Syawal kali ini berbeza

MELAKA: Bekas pemain kebangsaan pada tahun 1980an dan 1990an, Karim Pin mengakui sambutan Aidilfitri pada kali ini jauh berbeza berbanding sebelumnya.

Dia yang juga bekas penyerang Melaka, Kedah, Selangor dan Perak berkata penularan pandemik COVID-19 hingga memaksa kerajaan melaksanana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) benar-benar memberi kesan besar.

"Jika sebelum ini, saya lazimnya dan bekas pemain-pemain lain dapat menziarahi antara satu sama lain sepanjang sambutan Aidilfitri, namun sekarang tidak lagi akibat pandemik COVID-19. Dengan tiada lagi kebenaran rentas negeri, saya hanya beraya di kediaman di Selayang," katanya ketika dihubungi.

Karim, 58, berkata, sepanjang pelaksanaan PKPB dan PKP dia juga terpaksa menghentikan sebarang aktiviti sukan terutama bola sepak.

Dia yang masih aktif bermain bersama pasukan bekas pemain Selangor mengakui memang agak pening pada awalnya tanpa aktiviti bola sepak, namun selepas beberapa bulan kini sudah terbiasa dengan situasi terbabit.

Karim yang pernah membantu Malaysia menewaskan Arab Saudi 3-1 pada aksi kelayakan Olimpik Kumpulan 3 Asia 1983 di Stadium Merdeka, turut mengakui teruja untuk menyaksikan Liga Malaysia disambung semula pada September ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X