Ahad, 24 Mei 2020 | 8:57pm

Seorang pemain Bournemouth positif COVID-19

LONDON: Bournemouth mengumumkan seorang daripada pemain mereka positif ujian COVID-19, sekali gus menjadi kes kelapan membabitkan pasukan liga utama Inggeris.

Bournemouth menjelaskan identiti pemain berkenaan tidak akan didedahkan kerana 'rahsia perubatan' dan dia akan mengasingkan diri selama tujuh hari.

"Berikutan pematuhan kepada peraturan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk kembali berlatih, tempat latihan kelab perlu kekal menjadi persekitaran kerja yang selamat untuk pemain dan kakitangan termasuk akan terus menjalanj ujian COVID-19 dua kali seminggu," kata kelab itu dalam kenyataan.

EPL semalam mengumumkan terdapat keputusan positif COVID-19 di dua kelab daripada 996 ujian yang dijalankan pada Selasa, Khamis dan Jumaat lalu.

Satu lagi kelab yang terdapat kes positif bagaimanapun tidak diumumkan.

Pada peringkat pertama ujian, enam pemain didapati positif berdasarkan pengumuman yang dibuat pada 19 Mei lalu yang membabitkan tiga kelab EPL hasil dari 748 ujian ke atas pemain dan kakitangan pasukan.

Antara yang di dapati positif termasuk pemain Watford, Adrian Mariappa dan penolong pengurus, Burnley Ian Woan.

Selasa lalu, pasukan memulakan latihan buat kali pertama sejak EPL ditangguhkan pada 13 Mac.

- AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X