X
Isnin, 25 Mei 2020 | 8:46am
Penyerang Leipzig, Timo Werner (dua dari kanan) menewaskan penjaga gol Mainz, Florian Mueller (kiri) untuk gol pertamanya pada saingan Bundesliga, awal pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Leipzig, Timo Werner (dua dari kanan) menewaskan penjaga gol Mainz, Florian Mueller (kiri) untuk gol pertamanya pada saingan Bundesliga, awal pagi tadi. - Foto AFP

Werner ledak hatrik belasah Mainz

BERLIN: Penyerang Timo Werner meledak hatrik ketika RB Leipzig membelasah Mainz 5-0 untuk kembali ke tangga ketiga Bundesliga dan menghidupkan impian memburu kejuaraan.

Skuad kendalian Julian Nagelsmann kini tujuh mata di belakang pendahulu Bayern Munich menjelang pertemuan juara bertahan itu dengan pesaing di tangga kedua Borussia Dortmund esok.

Leipzig bangkit daripada keputusan seri menentang Freiburg hujung minggu lalu, dengan Werner, 24, kini hanya ketinggalan tiga gol di belakang penjaring terbanyak Robert Lewandowski dari Bayern.

Werner, yang dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab gergasi Eropah, sudah meledak 24 gol Bundesliga musim ini termasuk dua hatrik.

Lewandowski menjaringkan gol liga ke-27 musim ini ketika kemenangan 5-2 Bayerrn ke atas Eintracht Frankfurt pada Sabtu.

Kemenangan Leipzig adalah kemenangan ke-10 oleh pasukan pelawat dalam 18 perlawanan Bundesliga sejak ia disambung semula dalam stadium tertutup.

"Kami mampu menjaringkan lebih banyak gol, tetapi kami berpuas hati, kami amat gembira," kata pengarah sukan Leipzig Markus Kroesche.

Werner membuka jaringan pada minit ke-11, sebelum Yussuf Poulsen menanduk masuk hantaran Marcel Sabitzer pada minit ke-23.

Poulsen kemudian mengumpan kepada Sabitzer untuk gol ketiga sebelum rehat.

Werner menambah jaringan tiga minit selepas perlawanan bersambung, dan dia menyempurnakan hatrik 15 minit sebelum tamat permainan.

Sementara itu Augsburg turut merakam kemenangan selesa 3-0 di Schalke. - AFP

Berita Harian X