Isnin, 25 Mei 2020 | 1:26pm
Gambar fail, skuad Arsenal bekas kendalian Wenger memenangi musim 2003-04 tanpa kalah, sekali gus memenangi gelaran Liga Perdana dengan penuh bergaya.
Gambar fail, skuad Arsenal bekas kendalian Wenger memenangi musim 2003-04 tanpa kalah, sekali gus memenangi gelaran Liga Perdana dengan penuh bergaya.

Wenger puas hati Liverpool tewas

LONDON: Arsene Wenger mendedahkan dia lega apabila usaha Liverpool mengulangi rekod tanpa kalahnya menemui kegagalan.

Liverpool kendalian Jurgen Klopp berada di landasan terbaik untuk mengharungi Liga Perdana Inggeris musim ini tanpa kekalahan - tetapi impian itu berkecai pada Februari apabila mereka tewas 3-0 kepada Watford.

Dengan itu skuad Arsenal bekas kendalian Wenger masih kekal dengan rekod unik berkenaan.

The Gunners memenangi musim 2003-04 tanpa kalah, sekali gus memenangi gelaran Liga Perdana dengan penuh bergaya.

Arsenal ketika itu dibarisi Thierry Henry, Patrick Vieira dan Sol Campbell – dan dianggap pasukan Liga Perdana terbaik sepanjang zaman.

Liverpool hampir memecahkan rekod berkenaan apabila pada satu ketika mencatat deretan kemenangan dan mengumpul lebih mata berbanding Arsenal.

Anak buah Klopp mengharungi 26 perlawanan tanpa kalah - dengan hanya satu keputusan seri - sebelum ditewaskan Watford kendalian Nigel Pearson.

"Iya, ia cukup memuaskan hati apabila saya melihat Liverpool tewas.

"Anda sentiasa ingin menjadi satu-satunya orang yang dapat melakukan sesuatu.

"Liverpool sepatutnya dapat melakukannya. Tetapi ia membuktikan betapa sukarnya untuk mengulangi pencapaian ini.

"Sekurang-kurangnya saya mendapat banyak mesej daripada penyokong-penyokong Arsenal ketika itu," kata Wenger.

Bagaimanapun Liverpool masih di landasan terbaik untuk memecahkan rekod kutipan mata.

Mereka berpeluang mengumpul 109 mata sekiranya menang baki sembilan perlawanan musim ini.

Arsenal yang mencatat rekod tanpa kalah sekadar mengumpul 90 mata selepas mencatat 12 keputusan seri. - AGENSI

Berita Harian X