Khamis, 28 Mei 2020 | 8:18am
PEMAIN Hertha Berlin, Krzysztof Piatek (kiri) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang RB Leipzig pada aksi Bundesliga di Leipzig. - Foto AFP
PEMAIN Hertha Berlin, Krzysztof Piatek (kiri) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang RB Leipzig pada aksi Bundesliga di Leipzig. - Foto AFP

Leipzig seri di laman sendiri

BERLIN: RB Leipzig yang bermain 10 orang terlepas peluang melonjak ke tangga kedua Bundesliga apabila terikat 2-2 di laman sendiri.

Penyerang Hertha Berlin Krzysztof Piatek menyempurnakan sepakan penalti di akhir permainan - dan menebus kesilapan penjaga golnya Rune Jarstein.

Piatek, yang menyertai Hertha pada Januari dari AC Milan, menjaringkan gol keduanya dalam sembilan penampilan Bundesliga apabila menyempurnakan penalti minit ke-82.

"Saya amat gembira, ia gol yang penting buat saya dan pasukan," kata Piatek, 24, yang dimasukkan pada 20 minit terakhir menggantikan penyerang veteran Vedad Ibisevic, 35.

Penyerang Poland itu tampil mengambil sepakan selepas rakan sepasukan Matheus Cunha dikasari oleh pemains sayap Leipzig Ademola Lookman.

PEMAIN RB Leipzig, Lukas Klostermann menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Hertha Berlin pada aksi Bundesliga di Leipzig. - Foto AFP
PEMAIN RB Leipzig, Lukas Klostermann menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Hertha Berlin pada aksi Bundesliga di Leipzig. - Foto AFP

Keputusan seri itu melebarkan rekod tanpa kalah Hertha kendalian Bruno Labbadia kepada tiga perlawanan dan menebus kesilapan Jarstein.

Penjaga gol Norway itu menampan rembatan penyerang Leipzig Patrik Schick tetapi membiarkan bola bergolek melepasinya untuk kedudukan 2-1 pada minit ke-68.

Leipzig kehilangan seorang pemain apabila pertahanannya Marcel Halstenberg menerima kad kuning kedua selepas mengasari Cunha, yang bermain menentang bekas kelabnya.

Babak pertama berakhir 1-1 selepas Hertha mendahului permainan menerusi Marko Grujic, pemain yang dipinjam dari Liverpool, pada minit kesembilan.

Tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-24 menerusi tandukan pemain pertahanan Lukas Klostermann.

Leipzig kekal di tangga ketiga, dua mata di belakang Dortmund yang tewas 1-0 kepada pendahulu, Bayern Munich. - AFP

PEMAIN RB Leipzig, Timo Werner (kiri) mengasak pemain Hertha Berlin, Jordan Torunarigha pada aksi Bundesliga di Leipzig. - Foto AFP
PEMAIN RB Leipzig, Timo Werner (kiri) mengasak pemain Hertha Berlin, Jordan Torunarigha pada aksi Bundesliga di Leipzig. - Foto AFP

Berita Harian X