Khamis, 28 Mei 2020 | 5:50pm
RADHI akui kejayaan catat ‘double treble’ masih segar di ingatan.
RADHI akui kejayaan catat ‘double treble’ masih segar di ingatan.

Radhi yakin MB mampu atasi kemelut kewangan KFA

ALOR SETAR: Legenda bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din melahirkan keyakinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mampu menyelesaikan kemelut kewangan yang melanda Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Melalui kenyataan yang dikeluarkan Lajnah Sukan, Kesenian dan Kebudayaan PAS Negeri Kedah (Lestari) hari ini, Radhi selaku Pengerusinya berkata, pihaknya bersama Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) negeri percaya bola sepak Kedah mampu digerakkan ke mercu kejayaan di bawah kepimpinan Sanusi.

"Kita juga berbangga apabila Menteri Besar menjadikan KFA sebagai salah satu agenda utama kerajaan negeri walaupun persatuan itu bukan agensi kerajaan.

"Semoga kepimpinan kerajaan negeri dapat mengembalikan kegemilangan dan membawa KFA ke tahap lebih baik dari sekarang.

"Lagipun, bola sepak sukan nombor satu rakyat negeri Kedah dan ia membantu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, usia, kaum dan agama," katanya.

Radhi juga berkata pihaknya berharap peralihan kuasa di peringkat tertinggi KFA dapat berjalan dengan lancar dalam usaha menyelesaikan isu berbangkit yang perlu diatasi dengan secepat mungkin.

"Lestari juga mengharapkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dapat melepaskan jawatan sebagai presiden persatuan agar kelangsungan komitmen kerajaan yang baharu ini dapat direalisasikan dengan lebih mudah dan lancar.

"Malah, kejayaan 'double-treble' yang dicatat semasa pemerintahan Al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di mana ketika itu beliau juga Presiden KFA masih segar di ingatan," katanya.

Berita Harian X