X
Jumaat, 29 Mei 2020 | 12:12pm
PEMAIN RB Leipzig, Timo Werner.
PEMAIN RB Leipzig, Timo Werner.

8 penyerang sensasi hilang 'bisa' di EPL

LONDON: Timo Werner, penyerang yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL), mungkin perlu mengambil iktibar daripada apa yang terjadi kepada lapan penyerang ini sebelum membuat keputusan.

Bintang Jerman berusia 24 tahun itu, meledak 32 gol dalam 42 penampilan untuk kelab Bundesliga, RB Leipzig dan Jerman musim ini.

Bagaimanapun, rekod cemerlang di Eropah tidak menjamin perkara sama dapat diulangi di EPL.

Tidak semua mampu menjadi Fernando Torres atau Sergio Aguero, ada yang berakhir seperti Diego Forlan dan Radamel Falcao.

Berikut 8 penyerang yang gagal menyerlah selepas menyertai EPL.

1. DIEGO FORLAN - Man United (2002-04)

Ia memerlukan 34 perlawanan untuk Forlan akhirnya membuka akaun jaringan di England.

Forlan kemudian meledak gol kedua ketika menentang Southampton dan ketika meraikan jaringan dengan membuka bajunya, dia mengalami kesukaran untuk memakainya semula sehingga terpaksa melakukan terjahan tanpa baju.

Menanggalkan baju ketika meraikan jaringan akhirnya menjadi kesalahan kad kuning.

Forlan hanya menjaringkan 17 gol dalam 98 perlawanan untuk United.

2. FERNANDO MORIENTES - Liverpool (2005-06)

Bintang Sepanyol itu hanya semusim setengah di Anfield dan meledak hanya lapan gol dalam 41 penampilan Liga Perdana.

3. HERNAN CRESPO - Chelsea (2003-08)

Crespo pernah menjadi pemain termahal dunia tetapi mengalami kesukaran mendapatkan prestasi terbaiknya di Stamford Bridge.

Dia cukup menyerlah ketika bersama Parma dan Lazio, tetapi di Chelsea hanya mampu meledak 20 gol sepanjang tempoh lima tahun.

4. ANDRIY SHEVCHENKO - Chelsea (2006-09)

Shevchenko menyertai Chelsea ketika kemuncak prestasinya bersama AC Milan.

Selepas hampir 200 gol diledak bersama gergasi San Siro itu, harapan tinggi diletakkan ke atas penyerang Ukraine berkenaan.

Bagaimanapun, dia hanya menemui sasaran sembilan kali dalam 48 penampilan EPL.

5. ROBINHO - Manchester City (2008-10)

Perpindahan Robinho ke Manchester City mengejutkan dunia pada 2008.

Dia membarisi skuad bintang Brazil dan bermain lebih 100 kali untuk Real Madrid sebelum disambar City yang mendapat suntikan dana besar daripada pemiliknya.

Namun hanya 14 gol dijaringkan Robinho dalam dua musim sebelum dia menyertai AC Milan.

6. RADAMEL FALCAO - Manchester United (2014-15) dan Chelsea (2015-16)

Dua kelab Inggeris menjadi destinasi Falcao dan dia gagal di kedua-dua kelab itu.

Peledak Colombia itu tiba di England dengan reputasi sebagai penyerang elit - antara yang paling tajam di dunia ketika itu.

Hampir setiap perlawanan dia berjaya menjaringkan gol ketika di Porto dan Atletico Madrid, sebelum meledak 62 gol dalam 105 perlawanan untuk Monaco.

Namun di EPL, hanya lima gol dikutip dalam dua musim di Old Trafford dan Stamford Bridge.

7. ROBERTO SOLDADO - Tottenham (2013-15)

Bekas penyerang Real Madrid dan Sepanyol itu cukup tajam ketika bersama Valencia.

Harapan tinggi diletakkan Spurs ke atasnya tetapi dia hanya membalasnya dengan tujuh gol dalam 52 aksi liga.

8. ALEXANDRE PATO - Chelsea (2016)

Bintang muda sensasi Brazil itu dijangka akan menguasai dunia, menjadi Ronaldo baharu dan mengukir nama dalam sejarah bola sepak.

Dia bermula baik di Internacional dan kemudian AC Milan - tetapi prestasinya menjunam dan dia kembali ke Brazil bersama Corinthians.

Chelsea menandatanganinya pada 2016 tetapi dia hanya bermain dua kali dan menyempurnakan satu gol penalti. - AGENSI

Berita Harian X