Ahad, 31 Mei 2020 | 10:54pm
Mohd Asyraaf (kanan) bersama Datuk Ong Kim Swee dan ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong (kiri).
Mohd Asyraaf (kanan) bersama Datuk Ong Kim Swee dan ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong (kiri).

Lumpuh tak patahkan semangat Asyraaf Fong

KUALA LUMPUR: Walaupun lumpuh akibat kemalangan jalan raya awal tahun lalu, ia sama sekali tidak mematahkan semangat bekas jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Mohd Asyraaf Fong Abdullah untuk meneruskan kerjaya dalam dunia kejurulatihan.

Malah, pengendali kelahiran Tawau, Sabah berusia 51 tahun itu memasang cita-cita menjadi jurulatih berkerusi roda yang memiliki keupayaan sama seperti jurulatih normal yang lain.

Mengakui bukan mudah untuknya meneruskan kerjaya kerana perlu bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak, namun dia menegaskan tidak mustahil untuk mencapai cita-cita itu.

"Saya bercita-cita mahu jadi jurulatih menggantikan orang normal... yang pertama di Malaysia dan di dunia kalau boleh. Takkan saya mahu matikan (kerjaya) begitu saja.

"Tidak mustahil, kerana minda saya masih okey dan saya yakin dengan keupayaan saya. Mungkin orang berkerusi roda ini pemikiran dia lebih fokus dan lain dari yang lain," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Mohd Asyraaf kini berkerusi roda akibat lumpuh selepas terbabit kemalangan kereta di UMS, Kota Kinabalu tahun lalu.
Mohd Asyraaf kini berkerusi roda akibat lumpuh selepas terbabit kemalangan kereta di UMS, Kota Kinabalu tahun lalu.

Mohd Asyraaf pernah membimbing beberapa pasukan bola sepak dan futsal termasuk skuad bola sepak wanita kebangsaan pada 2015 hingga 2017, pasukan Universiti Malaysia 2017 dan skuad Liga Perdana Sabah (2009).

Dia juga pernah menjadi pengurus pasukan taekwondo negara ke Sukan Sea Myanmar 2013 serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2011 hingga 2013.

Selain itu, Asyraaf juga mengakui betapa dia rindu untuk kembali aktif dalam dunia bola sepak selepas hampir setahun setengah berehat selepas ditimpa kemalangan.

"Memang rindu, macam hilang sebahagian hidup saya. Tengok bola dalam televisyen pun jadi rindu. Ia berlaku (lumpuh) dengan mengejut kerana dari saya aktif kendalikan pasukan, esoknya berubah segalanya.

"Kalau kita terus bersedih memang kita akan menangis. Bagaimanapun kita kena redha, kalau reda kita akan lebih kuat," katanya.

Berita Harian X