Jumaat, 5 Jun 2020 | 2:44pm
Werner (tengah) ketika mewakili RB Leipzig.
Werner (tengah) ketika mewakili RB Leipzig.

Werner milik Chelsea, Liverpool melopong

LONDON: Chelsea dilaporkan sudah bersetuju dengan nilai perjanjian sebanyak 54 juta pound (RM291 juta) bagi menandatangani bintang RB Leipzig, Timo Werner.

Penyerang itu dijangka menandatangani kontrak selama lima tahun selepas pengurus The Blues, Frank Lampard bersedia untuk membayar nilai tebus kontrak pemain berkenaan.

Werner akan dibayar gaji sebanyak 200,000 pound (RM1.07 juta) seminggu sekali gus menjadikan dia salah seorang pemain yang menerima bayaran tertinggi di Stamford Bridge.

Bagaimanapun, Liverpool yang turut dikaitkan dengan Werner mampu mengundang bahaya buat Chelsea dengan tawaran saat akhir.

Liverpool yang dibimbing Jurgen Klopp sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan Werner dan bintang Jerman secara terbuka turut menyuarakan minat untuk berpindah ke Anfield.

Pada Februari lalu, Werner mengakui: "Jurgen Klopp adalah jurulatih terbaik di dunia.

"Ramai yang mengatakan corak permainan saya sesuai dengan Liverpool," katanya.

Bagaimanapun, Liverpool difahamkan berat untuk memenuhi nilai tebus kontrak Werner ketika kelab itu berdepan masalah kewangan susulan pandemik COVID-19.

Situasi itu meletakkan Werner hampir pasti menyertai perebutan tempat bersama Tammy Abraham dan Olivier Giroud di Stamford Bridge musim depan.

Chelsea setakat ini sudah menandatangani pemain sayap Ajax, Hakim Ziyech.

Werner yang juga pemain antarabangsa Jerman sudah menjaringkan 31 gol buat Leipzig dalam semua kejohanan. - Agensi

Berita Harian X