Sabtu, 6 Jun 2020 | 8:16am
Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yakin pasukannya sudah bersedia sepenuhnya apabila Liga Perdana Inggeris bersambung bulan ini. - Foto AFP
Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yakin pasukannya sudah bersedia sepenuhnya apabila Liga Perdana Inggeris bersambung bulan ini. - Foto AFP

Man Utd sedia harungi jadual padat

LONDON: Pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer yakin pasukannya sudah bersedia sepenuhnya apabila Liga Perdana Inggeris bersambung bulan ini.

Liga utama Inggeris itu dijadualkan bermula dua minggu lagi selepas beberapa bulan berehat akibat pandemik COVID-19.

United akan bertandang ke laman Tottenham Hotspur pada 19 Jun - perlawanan pertama mereka sejak menewaskan LASK 5-0 dalam saingan Liga Europa pada 12 Mac.

Kemenangan di Austria itu melebarkan rekod tanpa kalah United kepada 11 perlawanan dan Solskjaer tahu apa yang perlu dilakukan pasukannya dalam usaha memburu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Perlawanan pertama adalah dua minggu dari hari ini jadi kami perlu meningkatkan latihan untuk kembali ke tahap permainan sebenar kami.

"Semua orang tahu yang kami perlu berada pada tahap terbaik, perlu fokus (menentang Tottenham). Kami sedar ia adalah perlawanan yang besar untuk semua orang.

"Kami berdepan Chelsea ketika permulaan musim jadi saya yakin pemain-pemain akan turun dengan mentaliti yang sama dan menampilkan persembahan baik," kata Solskjaer.

Selepas bertemu Spurs, United akan melayan kunjungan Sheffield United di Old Trafford pada 24 Jun sebelum bertandang ke Brighton pada 30 Jun - selepas suku akhir Piala FA di Norwich pada 27 Jun. - AFP

Berita Harian X